Ramesh Rao mendakwa memiliki bukti Tun M mengarahkan Clare untuk memfitnah Perdana Menteri dan kerajaan.
(Free Malaysia Today) – Ramesh Rao memberi amaran supaya rakyat Malaysia tidak terkejut jika ada rakaman suara yang menunjukkan Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berjumpa dengan Clare Rewcastle-Brown.
Pengerusi Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) itu mendakwa, rakaman itu membuktikan bekas Perdana Menteri bersekongkol dengan pemilik Sarawak Report itu untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Jangan terkejut perjumpaan Dr Mahathir dan Clare ada recoder yang menunjukkan Mahathir arahkan Clare untuk burukkan Najib,” katanya dalam sidang media di pejabatnya pada Rabu.
Dia menyifatkan Dr Mahathir sudah hilang ingatan dan nyanyok kerana menggunakan media asing untuk memburukkan pemimpin dan negara ini.
“Saya nak ulang balik sewaktu Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dipecat bila media asing serang Malaysia dia (Dr Mahathir) bidas media asing kononnya Yahudi dan jangan percaya dengan berita.
“…Tetapi hari ini Dr Mahathir upah Clare untuk hentam kerajaan Malaysia dengan menjemput dia (Clare) ke Yayasan kepimpinan Perdana dan pergi ke London berjumpa,” katanya.
Ramesh berkata, Dr Mahathir juga sudah ‘nyanyok’ apabila mengatakan demokrasi di negara ini telah mati di bawah kepemimpinan Najib dan demonstrasi tidak lagi dibenarkan.