1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak menerima RM42 bilion daripada kerajaan.
Menurut buku “1MDB: Siapa Kata Tidak Dijawab”, sebalikya RM42 bilion dana hutang 1MDB adalah di dalam bentuk pinjaman bank, bon dan sukuk.
1MDB hanya menerima RM1 juta dalam bentuk ekuiti pada tahun 2009 dan pinjaman jangka masa pendek sebanyak RM950 juta pada Mac 2015 dalam bentuk kredit tersedia.
“1MDB tidak dibiayai modal tempatan dan antarabangsa serta melabur menggunakan modal sendiri,” menurut buku itu yang diterbitkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Buku itu juga menjelaskan dana hutang RM42 bilion tidak lesap kerana RM18 bilion digunakan untuk pembelian syarikat pengeluar tenaga bebas, RM15.4 bilion untuk dana pelaburan, RM5.8 bilion untuk kos kewangan, RM1.7 bilion untuk kos pembelian tanah dan RM900 juta dalam bentuk tunai.
Buku 62 muka surat itu adalah pengumpulan jawapan yang pernah dan telah dibuat sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; 1MDB dan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung persoalan mengenai 1MDB.
Ia menyediakan jawapan bagi 32 soalan mengenai 1MDB yang disampaikan dengan penjelasan secara ringkas dan mudah serta dibantu dengan infografik.
Antaranya ia menjawab persoalan mengenai benarkah pelaburan dalam usaha sama Petrosaudi satu penipuan? Benarkah 1MDB terpaksa meminjam daripada Ananda Krishnan sebanyak RM2 bilion untuk membayar faedah? Kenapa kerajaan menjual 70 ekar tanah kepada 1MDB dengan harga begitu rendah?
Benarkah wang 1MDB dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib? Kenapa perlu pelan rasionalisasi jika 1MDB tidak bermasalah? Benarkah pihak polis mengganggu siasatan SPRM dalam kes 1MDB?