Laporan portal pro-pakatan, The Malaysia Insider, bahawa Mesyuarat Biro Politik UMNO berlangsung di Perdana Putra di sini hari ini membincangkan strategi untuk memecat Timbalan Presiden UMNO jelas palsu dan berniat jahat.
Menurut Utusan Malaysia mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak turut dihadiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang digugurkan daripada barisan kabinet dalam rombakan kabinet pada 28 Julai lepas.
Kehadiran Muhyiddin dan Mohd Shafie ke mesyuarat tersebut disahkan pegawai kedua-dua pemimpin tersebut.
Sumber memaklumkan, surat jemputan memanggil mesyuarat itu diedar pada 2 Sept lalu dan ditandatangani Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Mesyuarat yang bermula pada 9.30 pagi itu berlangsung selama kira-kira sejam sebelum kenderaan yang membawa kedua-dua pemimpin itu dilihat keluar dari bangunan Perdana Putra kira-kira 10.45 pagi.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.