Lima belas individu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes kehilangan Timbalan Pendkwa Raya Anthony Kevin Morais sejak Jumaat lepas.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata mereka yang diambil keterangan termasuk rakan serumahnya, rakan di tempat kerja dan anggota keluarga.
“Polis akan melihat dari semua aspek dalam menjalankan siasatan ini,” katanya kepada media ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini Jumaat.
Morais dilaporkan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur, Jumaat lepas untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana warna kelabu bernombor pendaftaran WA6264Q.
Dua hari kemudian sebuah kereta yang sama model dengan milik Morais ditemui terbakar di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang.
Law menambah, setakat ini pemiliknya belum dapat disahkan lagi dan pihaknya masih meneliti rakaman kamera litar tertutup bagi laluan yang sering digunakan Morais.
Polis percaya kehilangan Morais akibat diculik.