Bersih 4 berakhir dengan aman. Ramai yang datang untuk kali pertama ke perhimpunan seperti ini dan itu sangat melegakan. Walaubagaimanapun, sebagai seorang yang telah menyertai perhimpunan Bersih sebelum ini, Bersih 4 nampaknya ada perubahan. Tiada lagi perasaan yang rapat antara orang Cina, Melayu, India dan kaum-kaum lain seperti yang terdapat di dalam perhimpunan sebelum ini. Ramai orang menyedari kekurangan penyertaan kaum Melayu pada perhimpunan kali ini. Orang cina menyimpulkannya sebagai tiada sokongan dari PAS. Mereka juga berkata UMNO dan PAS juga sedang berada di ambang perpecahan dan orang Melayu merasa terancam dan bimbang akan hilang dominasi politik di tanah air. Sebab itu, mereka tidak menunjukkan minat terhadap Bersih 4.0.
Adakah orang Melayu lebih suka tinggal di dalam situasi yang korup dan negara yang mundur hanya untuk mengekalkan kelebihan politik? Adakah PAS begitu berpengaruh dalam kalangan orang Melayu bandar sehingga mereka menjadi faktor penentu? Tanpa pengesahan tinjauan pendapat yang menyeluruh, ini semua hanyalah spekulasi.
Apa pun, Bersih 4.0 adalah satu petunjuk dan kita terkejut apabila melihat orang Melayu kini sudah berubah. Ahli politik ada skim dan pengiraan mereka sendiri. Kita, sebagai rakyat biasa, tidak mampu membuat apa-apa melihat kepada krisis Pakatan dan Barisan ini. Walaubagaimanapun, sebagai peserta Bersih 4.0, bukankah kita patut membuat pemeriksaan sendiri mengapa orang Melayu tidak menghadiri perhimpunan ini? Sejujurnya, setelah menghadiri perhimpunan ini untuk 2 hari, ia menimbulkan sedikit perasaan malu di dalam diri saya.
Pertama, banyak peserta muda begitu ‘kreatif’ mengeluarkan kata-kata kesat kepada Najib dan Rosmah. Yang paling banyak dilihat adalah menggunakan pisau mainan atau gerakan tangan untuk memotong kepala ayam mainan. Isyarat yang tidak senonoh pula dibuat di belakang ayam mainan tersebut. Ada juga yang menampal gambar Najib dengan gigi, untuk menampakkan beliau sebagai penghisap darah. Ada diantaranya memegang plakad yang mengandungi kata-kata cacian. Yang memijak gambar Najib dan Rosmah pun ada.
Kami orang Cina pernah menganggap diri kami sebagai mangsa. Apabila pemimpin UMNO menjulang keris di perhimpunan Agung UMNO, kami merasa terluka dan terancam, seperti maruah kami telah dicarik-carik. Walaubagaimanapun, apabila kita menjadikan upacara sembelihan ayam sebagai simbolik, pernahkah kita terfikir perasaan orang Melayu? Kepada orang melayu, tidak kira bagaimana benci pun mereka kepada Najib, beliau masih lagi orang Melayu dan salah sebahagian dari mereka. Adalah perkara biasa meilihat manusia mempertahankan orang yang sama dengan mereka. Blogger seks Alvin Tan telah melakukan pelbagai perkara yang bodoh yang tidak dipersetujui oleh orang Cina tetapi apabila bangsa lain mula menghentam beliau, ramai orang Cina mendapati ianya sukar dibendung lagi.
Orang Melayu hormat pemimpin mereka dan setia kepada pemimpin mereka. Tidak kira bagaimana teruk Najib, beliau masih lagi pemimpin mereka dan pemimpin negara. Sudah tentu, mereka akan mengikuti beliau. Apabila orang Cina, secara terbuka menghina pemimpin orang Melayu, bagaimana mereka hendak mendapatkan perasaan hormat dari orang Melayu lagi? Dengan menampal duit kertas neraka kaum Cina ke atas gambar Najib, ianya jelas satu penghinaan kepada agama orang Melayu. Kita tahu orang Melayu adalah orang yang beragama. Jadi mengapa kita perlu menaikkan kemarahan orang Melayu?
Peserta Bersih sepatutnya faham yang perhimpunan ini bukanlah tempat untuk melepaskan kemarahan. Ia adalah sebuah perhimpunan untuk menekan kerajaan dan juga untuk mendapatkan pendapat awam. Kita sepatutnya mengekalkan imej baik di media tempatan dan antarabangsa dan lebih penting, kita mesti memenangi sokongan bangsa lain. Ada orang mungkin dingin terhadap politik dan kurang kesedaran politik. Selepas dibasuh pemikirannya oleh Utusan, mereka kini keliru tentang apa yang salah dan apa yang benar. Dan sebab itu, mereka ragu-ragu.
Tetapi kini, tindakan setiap peserta Bersih 4.0 akan menentukan sama ada bangsa lain akan menyokong tuntutan Bersih 4.0 atau mempengaruhi undi mereka di PRU akan datang. Maka, setiap peserta Bersih 4.0 adalah duta imej Bersih.
Oleh kerana sebab-sebab di atas, tidak ada salah penggunaan bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di atas kain rentang atau plakad untuk digunakan ketika perhimpunan. Kita mungkin cintakan bahasa ibunda kita, tetapi bahasa Inggeris pasti lebih berkesan untuk menyampaikan mesej. Jika kita ingin mempengaruhi rakan Melayu kita, ada alternatif yang lebih mudah difahami berbanding dengan bahasa Melayu?
Apabila akhbar harian berbahasa Melayu dan Inggeris yang dikawal oleh Barisan Nasional memainkan sentimen kehadiran orang Melayu yang rendah dan menggambarkan perhimpunan ini sebagai usaha orang Cina untuk merampas kuasa, pasti kita boleh melakukan sesuatu bukan? Tak bolehkah kita, sekurang-kurangnya meleraikan isu perkauman ini dengan menyiarkan gambar kita bersama-sama dengan bangsa lain?
Ada rakan saya yang sedih dan risau apabila melihat Bersih 4.0 bertukar menjadi karnival. Ada yang berkata, sesetengah individu yang hadir ke Bersih 4.0 hanyalah bertujuan untuk mendapatkan pujian. Saya tiada komen apabila orang berkata sedemikian. Apa pun, kejayaan sesebuah perhimpunan tidak perlu bergantung kepada mood yang sedih dan suram. Menjadikan acara yang gembira pastinya akan menarik perhatian yang lebih besar. Saya percaya, orang yang akan kali pertama menyertai Bersih 5,6,7 pastinya akan tidak sabar-sabar kerana mereka sudah melihat Bersih 4.0 berjalan dengan lancar dan pengalamannya menyeronokkan.
Satu-satunya harapan saya adalah orang Cina akan lebih berinteraksi dengan orang sekeliling mereka iaitu orang Melayu dan India yang hadir dalam jumlah yang sedikit. Ramai orang pastinya tidak selesa berada di dalam persekitaran di mana 90% orang adalah bukan dari bangsanya. Tidak ada salahnya menghulurkan tali persahabatan dan bermesra dengan mereka kerana mungkin pada ketika itu juga mereka membuang sangkaan yang orang Cina ini sombong dan pentingkan diri.
Jika kita boleh berkongsi gambar sedemikian di Facebook, ia mungkin akan dapat membantu Bersih mencapai sasarannya. Dan boleh tak kita menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu untuk menulis sesuatu yang positif untuk membolehkan orang Melayu dan bangsa lain berkongsi cinta kita kepada tanah air ini?
Di Malaysia, realiti yang tidak boleh disangkal lagi adalah, tanpa sokongan Melayu, ianya mustahil untuk menumbangkan Barisan Nasional dan menyedari objektif sistem 2 parti. Barisan berkuasa hari ini kerana ia mampu memanipulasi isu perkauman dan chauvinis. Untuk memecahkan ini, tidak ada cara lain selain menggunakan tangan kita sendiri untuk meruntuhkan tembok perkauman.