Majoriti senyap mungkin menjadi golongan yang menentukan masa depan politik negara di peti undi dan bukan minoriti yang lantang bersuara dalam media sosial.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata mungkin terdapat ribuan peserta menyertai perhimpunan jalanan sambil menjerit dan meluangkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu.
Namun di sebaliknya, katanya ada juga kumpulan yang lebih besar yang tidak mempunyai isu serta tidak sealiran dengan pandangan kumpulan minoriti yang banyak membuat bising.
“Wujud kumpulan yang lebih besar yang senyap dan menyatakan sokongan atau sebaliknya di peti undi,” katanya dalam tulisan terbaru di blognya di sskeruak.blogsport.my, Sabtu.
Beliau menarik perhatian ahli-ahli politik pada amnya agar tidak takut dengan golongan minoriti bising berbanding majoriti senyap.
“Apa yang mereka takut adalah majoriti senyap kerana tiada siapa tahu pemikiran majoriti senyap itu dan apa tindakan mereka ambil pada hari pengundian,” katanya.
Mengambil Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura semalam sebagai contoh, Salleh berkata golongan minoriti yang lantang bersuara dan bising menguasai Internet dan media sosial, seolah-olah kelihatan mereka mewakili golongan majoriti.
Tetapi keputusan PRU Singapura itu membuktikan majoriti senyap tidak bersama-sama dengan minoriti bising, katanya.
Beliau berkata tidak dapat dinafikan Internet dan media sosial di Malaysia dikuasai oleh golongan minoriti bising.
“Malah, ramai yang takut dan tidak mahu mengirim pandangan masing-masing kerana sekiranya tidak bersetuju dengan minoriti bising, mereka dicerca dan dihina,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, sama seperti apa yang berlaku di Singapura, golongan majoriti senyap hilang minat dengan pandangan minoriti bising dalam Internet dan media sosial.
Salleh berkata golongan majoriti senyap mendengar apa yang diutarakan oleh golongan minoriti yang lantang bersuara mengenai sesuatu isu dan lebih banyak yang diperkatakan oleh mereka, lebih banyak orang berpaling tadah.
“Kadang-kadang tindakan keterlaluan boleh menjadi musuh…seperti apa yang terbukti pada pilihan raya Singapura,” katanya.