Pasukan saintis yang bertugas di Indonesia menemui spesies tikus baharu yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Spesies yang diberi nama Hyorhinomys stuempkei atau dikenali sebagai tikus hidung babi itu memiliki bentuk wajah unik dan berbeza daripada tikus biasa.
Tikus tersebut ditemui di kawasan pergunungan terpencil di Sulawesi pada Januari lalu oleh saintis dari Indonesia, Australia dan Amerika Syarikat.
Saintis dari Muzium Victoria, Australia, Kevin Rowe berkata saiz spesies tersebut adalah sama dengan tikus normal.
“Saya masih teruja dengan penemuan spesies baharu ini. Ia masih belum didokumenkan oleh sains,” kata Rowe yang terlibat dalam kajian tersebut.
Spesies tersebut mempunyai hidung mirip babi berwarna merah jambu dan telinga yang lebih besar sedikit berbanding tikus normal.
Ia turut mempunyai bentuk mulut lebih kecil dan gigi depannya panjang sedikit.