Pasukan petugas khas cetak rompak digital yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menahan enam lelaki kerana menjalankan operasi perkhidmatan televisyen satelit tidak berlesen dalam dua serbuan di Kuala Lumpur dan Seremban.
Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata kesemua yang ditahan berusia 30-an, dengan empat daripada mereka warganegara India manakala dua lagi warga tempatan.
Zulkarnain berkata perkhidmatan tidak berlesen itu membolehkan para pelanggan di seluruh negara menikmati siaran televisyen berbayar dari India, Videocon yang mempunyai lebih 100 saluran terutamanya filem dan program-program Bollywood.
“Perkhidmatan tidak berlesen ini sudah beroperasi selama tiga tahun dan mereka menarik pelanggan secara dalam talian menggunakan laman sosial Facebook dan words of mouth (maklumat dari mulut ke mulut),” katanya kepada pemberita di pejabat SKMM di sini hari ini.
Beliau berkata serbuan itu melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara selain SKMM.
Menurut Zulkarnain, serbuan dijalankan pada Jumaat (16 Okt) dan hari ini di premis kediaman di Seremban dan Kuala Lumpur yang dijadikan tempat menyimpan dish dan dekoder.
Sebanyak 124 set dekoder dan parabola jenama Videocon yang dianggarkan bernilai RM120,000 dirampas dalam serbuan tersebut, katanya.
Mengulas mengenai filem-filem yang ditayangkan melalui perkhidmatan televisyen satelit Videocon, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat filem yang tidak diluluskan Lembaga Penapis Filem yang disiarkan melalui saluran tersebut.
“Ini boleh membawa pengaruh negatif kepada masyarakat,” katanya sambil menambah pakej yang ditawarkan oleh perkhidmatan itu berharga antara RM20 hingga RM50.
Katanya kesemua lelaki itu kini sedang direman dan SKMM menjalankan siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan peranti tidak standard.
Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Jika didapati mereka yang ditahan ada melakukan kesalahan lain, maka agensi yang berkaitan akan menguatkuasakan akta masing-masing,” katanya.