KUALA TERENGGANU: Musim tengkujuh di Terengganu tidak hanya bermaksud hujan lebat dan ribut petir, sebaliknya ia juga musim di mana ‘tetamu tak diundang’ seperti ular menyerang kediaman.
Pada tahun lepas, kata Jabatan Pertahanan Awam Terengganu (JPAM) menerima 4,356 laporan pencerobohan ular semasa musim tengkujuh.
Pengawai Pengurusan Bencana, Operasi dan Logistik Jabatan Pertahanan Awam Negeri Lt Norasmawi Abdul Mutalib berkata geografi negeri ini dengan kawasan paya, hutan dan ladang-ladang getah yang luas menjadikannya habitat yang sesuai untuk reptilia terutamanya ular tedung raja.
“Kami telah menerima banyak panggilan berkaitan ular sejak akhir-akhir ini, sama ada jenis ular beracun itu atau ular sawa.
“Ini disebabkan habitat mereka terganggu oleh hujan berterusan. Mereka cenderung untuk keluar dari habitat semula jadi bagi mencari tempat yang lebih panas dan sebab itulah ia sering menjalar dan menyelinap masuk ke dalam rumah penduduk,” katanya.
Beliau berkata setakat ini, jabatan itu telah menerima 4,796 panggilan mengenai ular pada tahun ini sahaja.
Minggu lepas sahaja, apabila musim hujan bermula, pihaknya menerima 15 aduan.
Kebanyakan kes berlaku di Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Dungun dan Besut, di mana berlakunya hujan paling lebat.
Antara tempat-tempat yang berkemungkinan besar akan ‘dihuni’ reptilia ini adalah di bahagian dapur, bilik mandi, dalam mesin basuh dan bonet kereta.
Bagi Kuala Terengganu, beliau berkata jabatan itu telah menubuhkan dua pasukan di mana anggotanya terlatih dalam seni menangkap ular.
Alat yang digunakan termasuklah cangkuk, tiang panjang dan penyepit – beberapa peralatan ‘tak membawa maut’ untuk memastikan reptilia itu tidak tercedera ketika ditangkap.
Norasmawi menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba menangkap ular sendiri.
“Hubungi kami jika anda terjumpa ular di rumah anda. Ular itu mungkin berbahaya, terutamanya yang jenis beracun,” nasihat beliau.