Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Juslie Ajirol menyelar kenyataan Naib Presiden DAP Teresa Kok Suh Sim menyatakan insiden pencerobohan di Kampung Tanduo sebagai “cerita lama” dan tidak serius.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Libaran berkata kenyataan Teresa itu tidak sensitif terhadap penduduk di Sabah dan mereka yang terkesan akibat insiden itu.
“Kenyataan Teresa bahawa insiden Tanduo adalah cerita lama dan tidak serius amat melukakan hati rakyat Sabah.
“Dia memandang ringan insiden Tanduo yang menjadi sejarah hitam dan dianggap tragedi berdarah di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini Jumaat.
Juslie berkata sebagai rakyat negara ini, Teresa seharusnya mengutamakan negara, keselamatan dan keamanan berbanding perbezaan politik.
Katanya, soal negara khususnya berkaitan keselamatan tidak harus dipolitikkan.
“Pemimpin dahulu hingga hari ini bertungkus lumus menjaga keselamatan dan perpaduan rakyat. Disebabkan perbezaan politik jangan pula maruah digadai…ini tidak betul,” kata Juslie.
Bidasan turut diluahkan Anggota Parlimen Tenom Datuk Raimi Unggi yang menganggap Anggota Parlimen Seputeh itu sebagai pengkhianat negara serta tidak tahu tentang ancaman keselamatan di Sabah.
“Perkara ini serius dan ini bukan cerita lama. Pencerobohan pengganas, penculikan, ini bukan perkara lama. Ini perkara yang harus diberi perhatian dan sebagai salah seorang anggota parlimen dia patut peka,” katanya yang cukup marah dan kesal dengan kenyataan Teresa itu.
Sementara itu Naib Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Jamilah Sulaiman berkata insiden pencerobohan Sulu di Lahad Datu pada 2013 itu merupakan insiden serius dan bukan sengaja “diadakan” oleh kerajaan.
“Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia, Teresa Kok perlu lebih tahu. Dia boleh dikatakan pemimpin tertinggi Malaysia dan sepatutnya dia peka dengan insiden itu dan bukan mengatakan itu cerita lama dan tidak serius.
“Bagi rakyat Sabahan, itu insiden penting dan sejarah yang tidak boleh dilupakan dan kita seharusnya mengambil iktibar daripada perkara itu,” tambahnya.
Pada Februari 2013, kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Pertempuran tercetus pada 1 Mac 2013 antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis.
Insiden itu menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera manakala 12 penceroboh bersenjata terbunuh.
Sehari selepas itu, enam lagi anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna dan dua anggota tentera turut terbunuh semasa bertempur dan kemalangan dalam operasi di Lahad Datu