“Sampai bila Azmin ingin berdiam diri. Janganlah mereka ini beranggapan bahawa rakyat akan lupa atau mereka boleh menggula-gulakan rakyat. Rakyat sekarang semakin bijak dan perkara ini perlu dijawab.
“Jumlah RM7.6 bilion bukanlah satu jumlah yang kecil. Kerana itulah Azmin tidak boleh terus tutup mulut. Rakyat harus tahu hakikat sebenar…. Jika dia berada di pihak yang benar mengapa perlu takut untuk memberi penjelasan.”
Itu kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim berhubung tindakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang sehingga kini tidak menjelaskan butiran penggunaan duit RM7.6 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9 bilion dana penstrukturan semula air di Selangor.
Menurutnya, rakyat Selangor tertanya-tanya status wang tersebut lantaran sikap membisu Azmin menerbitkan persoalan samada wujud penyelewengan dana atau salah guna kuasa.
“Kalau pembangkang terus berdiam diri maka sudah pasti ia membuktikan sebaliknya. Ketelusan yang dicanang hanyalah retorik… dakwaan mereka lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) juga hanyalah satu penipuan.
“Jika Azmin gagal menjawab isu ini maka terbuktilah mereka hanya pandai bersandiwara,” katanya menambah bahawa Azmin tetap ‘wajib’ menjawab status wang tersebut kerana ianya adalah wang rakyat.
Menurut Irmohizam, inilah masa yang paling sesuai untuk pembangkang membuktikan bahawa mereka mengamalkan ketelusan.
“Jangan mereka hanya mencari salah orang tetapi kudis buta mereka disorok. Pembangkang ini memang pandai mengalihkan isu sehinggakan rakyat terleka dan lupa akan compang camping mereka,” katanya.