Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh untuk membatalkan saman dikemukakan bekas ahli parti itu, Anina Saadudin berhubung pemecatannya.
Pesuruhjaya Kehakiman S Nantha Balan berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Anina mencabar pemecatannya kerana perlembagaan parti yang menetapkan bahawa keahlian beliau tergugur selepas memfailkan saman terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
“Mahkamah terikat dengan keputusan sebelum ini bahawa seseorang anggota parti yang memfailkan tindakan undang-undang tidak lagi menjadi anggota parti,” katanya.
Seksyen 18C, Akta Pertubuhan 1966 tidak membenarkan penghakiman dibuat dalam perkara itu.
Sehubungan itu, Anina juga diarah membayar kos perundangan berjumlah RM5000.
Anina sebelum ini menyaman Najib, yang juga perdana menteri berhubung isu kemasukan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.