Rakyat Malaysia yang ditembak di Narathiwat, Thailand pada petang semalam terpaksa menjalani pembedahan selama tiga jam untuk membuang sebutir peluru pada kepalanya.
Bapa mangsa, Ismail Ahmad, 66, berkata, anaknya, Mohamad Shahriduwan, 24, yang dirawat di Hospital Narathiwat semakin pulih setelah menjalani pembedahan tersebut semalam.
“Sebelum ini keadaan anak saya antara hidup dan mati kerana kecederaan parah akibat ditembak di kepala namun sekarang keadaannya sudah 90 peratus berubah berbanding semalam.
“Dia masih koma walaupun keadaannya semakin stabil. Saya reda dengan kejadian yang menimpa anak saya dan berharap dia segera sembuh dan dapat berbual dengan saya seperti dahulu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Buluh Badang, di sini hari ini.
Semalam, agensi berita melaporkan seorang rakyat Malaysia parah manakala isterinya warga Thailand cedera ditembak di jalan Narathiwat-Takbai di Kampung Kaluwa, daerah Muang Narathiwat.
Mangsa Mohamad Shahriduwan berasal dari Kampung Kedai Buluh Badang, di sini manakala isterinya, Phochanee Pachara, 38, berasal dari Daerah Yingo, Narathiwat.
Ketika kejadian, pasangan itu dalam perjalanan dari Takbai untuk pulang ke rumah mereka di Narathiwat.
Sebaik sahaja ditembak, Phochanee yang memandu trak pikap berjaya mengawal kenderaannya dan terus melanggar kenderaan suspek yang juga trak pikap sehingga terbalik.
Dia kemudian terus memandu kenderaan tersebut sehingga sampai di Hospital Narathiwat untuk mendapatkan rawatan.
Ismail berkata, anaknya berkahwin dengan Phochanee lebih setahun lalu dan mereka berdua menjalankan perniagaan pakaian bersama-sama serta sering berulang-alik ke rumahnya di sini.
“Saya mengetahui kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 petang semalam dan terus ke Hospital Narathiwat untuk melihat keadaan anak dan menantu saya.
“Saya tidak menyangka kejadian ini berlaku terhadap anak saya kerana apa yang saya tahu, dia tidak mempunyai musuh bahkan mempunyai ramai kawan serta peramah.
“Kali terakhir saya melihatnya adalah pada minggu lepas ketika dia pulang ke rumah untuk menjenguk keluarga,” katanya.