Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menegaskan wartawan atau pengamal media tidak perlu takut dengan pertimbangan untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dengan mengenakan hukuman yang lebih berat.
“Kenapa perlu ada ketakutan jika mereka (wartawan) tidak membuat laporan mengenainya atau membantu mengeluarkan rahsia rasmi kerajaan dan maklumat sulit,” kata Mohamaed Apandi.
Mohamed Apandi pada Sabtu dilaporkan akan meminda OSA bagi menghukum mereka yang membocorkan rahsia, tidak terkecuali pihak media yang melaporkan mengenainya dengan memetik dari sumber.
Beliau dilaporkan sedang mempertimbangkan mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan untuk pesalah itu.
Tindakan tersebut mendapat perhatian beberapa kumpulan persatuan wartawan antaranya Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) yang menggelarkan tindakan itu seperti ‘shooting the messenger’ (menembak penyampai utusan).
Tambah CIJ, ia menunjukkan kerajaan tidak tahan dengan kritikan dan takut untuk bertanggungjawab.
CIJ menegaskan, hak untuk kebebasan berucap dan bersuara ada di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang termasuk juga hak untuk maklumat, atau ringkasnya, hak untuk tahu.
Manakala Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) masih belum bersedia untuk mengeluarkan sebarang komen mengenai perkara ini.
Menurut presidennya, Peguam Negara hanya berkata kerajaan sedang mengkaji untuk meminda undang-undang pada masa ini, biarkan mereka buat keputusan muktamad dan NUJ akan memberi reaksi balas sewajarnya.