NARATHIWAT — Enam butir bom diletupkan di sekitar daerah Bachok, selatan Thailand semalam dalam serangan anggota gerakan pembebasan bagi memperingati kejadian serangan di daerah itu tiga tahun lepas yang mengorbankan 16 nyawa pejuang pembebasan.
Ketua Polis Daerah Kolonel Patta Madawa berkata serangan bom itu bermula pada 8.40 malam dan berlanjutan sehingga 11.30 malam dengan menyasarkan tiang-tiang elektrik.
“Serangan bom itu adalah tindakan simbolik kejadian pada 13 Feb 2013 apabila 16 anggota gerakan terbunuh dalam serangan markas tentera laut di Bachok,” katanya kepada pemberita Sabtu.
Dalam kejadian berasingan, seorang pemandu lori berusia 45 tahun mati ditembak di Kampung Jerae, daerah Rusak di sini pada 3.30 petang tadi.
Ketua Polis Narathiwat Jeneral Pattannawut Angkanawin berkata tiga lelaki lain yang turut berada di dalam lori berkenaan, terselamat dalam kejadian itu.
Sementara itu seorang lelaki di Yala dan seorang lagi di Songkhla masing-masing mati ditembak oleh lelaki tidak dikenali dalam kejadian 7.50 malam dan 6 petang semalam, kata jurucakap polis.