Sekumpulan anggota UMNO Bahagian Pagoh hari ini menyatakan pendirian mereka untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Gerakan yang dikenali sebagai Kumpulan Bertindak UMNO Pagoh (KBUP) itu dibentuk bagi memastikan UMNO bahagian itu sentiasa bersama arus perdana UMNO Pusat serta memperkukuhkan perjuangan parti dalam membela bangsa, agama dan negara.
Pengerusi KBUP, Datuk Yusof A Bakar berkata gerakan itu ditubuhkan bagi memastikan UMNO Pagoh tidak terasing atau bersendirian dalam soal membela masyarakat, rakyat serta pengundi kawasan Pagoh.
“Bukan kami tidak sayang Tan Sri Muhyidin Yassin (bekas timbalan perdana menteri yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh) tetapi kami lebih sayangkan parti UMNO,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Taman Pagoh Jaya, di sini hari ini.
Yusof, yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Batu 7 Bukit Pasir, menegaskan pemimpin dalam UMNO sentiasa datang dan pergi, namun, UMNO tetap menjadi wadah perjuangan orang Melayu.
Beliau berkata pihaknya terkilan dan kecewa apabila Muhyiddin bersekongkol dengan DAP dan atas dasar itu, KBUP membuat pendirian ini supaya perpaduan dalam UMNO terus terpelihara.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi KBUP, Datuk Zaaba Aman, yang juga Ketua UMNO Cawangan Seri Ledang Utara, berkata KBUP akan menggerakkan usaha dari semasa ke semasa berjumpa dengan masyarakat Pagoh bagi memberikan penjelasan secara harmoni supaya mereka mendapat maklumat yang betul.
Katanya beliau tidak boleh menerima tindakan Muhyiddin bersekongkol dengan pembangkang dalam mengeluarkan ‘Deklarasi Mahathir’ dengan tujuan menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.