KUALA LUMPUR: Seorang ejen hartanah mati ditembak dari jarak dekat oleh dua penyerang tidak dikenali semasa mangsa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) mewahnya di Taman OUG di sini.
Anak perempuan mangsa berusia lapan tahun, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan turut ditembak dan berada dalam keadaan kritikal.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, insiden berlaku pada pukul 2.28 petang Rabu di Jalan Hujan Mas.
“Kita bergegas ke lokasi kejadian dan menemui wanita itu dalam keadaan tidak bernyawa di dalam kereta Toyota Vellfire.
“Berdasarkan siasatan, mangsa keluar untuk makan di restoran berdekatan.
“Mangsa keluar bersama lima anaknya dan seorang pembantu rumah apabila dua lelaki yang menaiki motosikal menghampiri kenderaan mangsa dan melepaskan tembakan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata, suspek dipercayai melepaskan lima tembakan dan salah satunya mengenai wanita berusia 32 tahun itu.
“Anak perempuannya yang duduk bersebelahan turut ditembak dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk mendapatkan rawatan,” katannya.