Pihak berkuasa di Abu Dhabi telah menahan Khadem Al Qubaisi, yang dikatakan menjadi individu utama dalam dakwaan penipuan bernilai berbilion dolar yang dikaitkan dengan dana kekayaan Malaysia, menurut sumber yang dekat dengan isu itu, lapor Wall Street Journal (WSJ).
WSJ berkata tangkapan pada minggu lepas itu adalah berhubung siasatan Abu Dhabi terhadap penipuan dan rasuah, termasuk peranan yang didakwa dimainkan Qubaisi dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Tiada pertuduhan telah difailkan terhadapnya.
WSJ pada April melaporkan bahawa Qubaisi sebelum ini disekat daripada meninggalkan Emiriyah Arab Bersatu dan asetnya di negara itu telah dibekukan.
Peguam Qubaisi enggan mengulas perkara ini.
WSJ berkata penyiasat Amerika Syarikat (AS) memperluaskan siasatan mereka ke atas dana dan urusan melibatkan Qubaisi yang mereka syaki telah mengawal penipuan yang didakwa, menurut sumber yang biasa dengan siasatan.
Jabatan Kehakiman AS memfailkan tindakan undang-undang sivil bulan lalu untuk menyita aset di AS bernilai kira-kira AS$100 yang didakwa dibeli dengan wang yang diselewengkan daripada 1MDB, dana yang ditubuhkan pada tahun 2009 untuk meningkatkan ekonomi Malaysia.