KUALA KUBU BHARU: Lelaki berusia 22 tahun lemas di Sungai Chiling, dekat sini, 3 petang tadi.
Mangsa, Muahammad Azimzulhilmi Mohd Bakri dari Parit 4, Sungai Besar ke sungai itu pagi tadi namun hilang daripada pandangan rakan mereka.
Difahamkan mangsa tergelincir ketika memancing manakala rakannya mandi sebelum menyedari kehilangannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Kamil Hamadan berkata, bomba menerima panggilan jam 3.20 petang sebelum enam anggota bomba ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.
“Operasi mencari dilakukan di kawasan mangsa dilaporkan hilang dan 30 minit kemudian mayatnya ditemui di dasar sungai,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.