Rumah warisan pengasas Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi yang berusia 100 tahun, kini berdiri megah di KL Eco City di sini.
Rumah tradisional Melayu bertangga batu, beranjung dan tidak berbilik itu sebelum ini berdepan risiko dirobohkan berikutan pembangunan semula kampung itu sebagai sebuah pusat komersial dan perumahan KL Eco City.
Rumah milik Allahyarham Abdullah Hukum atau nama sebenarnya Muhammad Rukun, kini siap dipasang semula di Tingkat 7, bangunan parkir KL Eco City yang turut menempatkan Masjid Jamek Abdullah Hukum.
Abdullah Hukum adalah antara perintis yang terlibat dalam pembangunan Kuala Lumpur pada tahun 1880-an dan beliau turut membuka kawasan Pudu-Bukit Bintang serta Sungai Putih yang kini dikenali sebagai Bangsar.
Beliau adalah ketua masyarakat Kuala Lumpur yang dilantik oleh Sultan Selangor ke-4 Sultan Abdul Samad dengan diberi gelaran Tuk Dagang Dianjuk.
Projek penempatan semula kediaman Abdullah Hukum di KL Eco City itu tercapai melalui persetujuan bersama pihak pemaju SP Setia Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi memastikan rumah pusaka itu dikekalkan dan dijadikan ikon kawasan tersebut.
Kontraktor konservasi Shaari Mat Saod yang dipertanggungjawabkan untuk memulihara rumah pusaka itu berkata proses memindahkan rumah itu bermula pada Sept 2012 sebelum projek pembangunan KL Eco City.
“Proses pemuliharaan dan pemindahan rumah itu melibatkan tiga fasa utama bermula dengan prosedur dokumentasi serta penandaan pada setiap kepingan kayu dan bahan binaan yang terdapat pada premis itu sebelum ditanggalkan dalam tempoh selama tiga bulan,” katanya kepada Bernama semalam.
Shaari berkata, kayu meranti merah yang digunakan dalam pembinaan rumah itu turut dibawa ke sebuah pusat konservasi di Melaka bagi merawat kerosakan pada kayu tersebut supaya memastikan kayu-kayu itu cukup kukuh untuk dipasang semula.
“Selepas selesai proses rawatan pada penghujung 2012, semua kayu dan bahan binaan rumah disimpan di stor SP Setia Bhd di Rawang selama tiga tahun dua bulan dengan pemantauan rapi sementara menunggu pembinaan (bangunan parkir tujuh tingkat itu) siap sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, selepas bangunan parkir bertingkat siap pada Mac tahun ini, kerja-kerja pemasangan semula rumah pusaka Abdullah Hukum di tingkat atas bangunan itu dimulakan mengikut struktur asal.
Shaari berkata, dengan dibantu 10 pekerja, mereka mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menyempurnakan pemasangan semula rumah yang sarat dengan ciri-ciri tradisional Melayu itu.
“Bagaimanapun, pengubahsuaian terpaksa dilakukan pada bahagian ‘tiang tunku’ rumah yang sudah tidak kukuh serta pemasangan atap baharu menggantikan zink sedia ada kerana tidak lagi sesuai digunakan,” katanya
Abdullah Hukum, berasal dari Sumatera dan berketurunan Kerinchi, berhijrah ke Tanah Melayu bersama bapanya pada tahun 1850 ketika berusia 15 tahun dan menetap di Kuala Lumpur dan Selangor hingga akhir hayatnya.
Beliau meninggal dunia pada usia 108 tahun pada 1943, dan mempunyai 18 orang anak.
Selain masjid, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Abdullah Hukum di Bangsar turut tertera nama Allahyarham.