Jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memenangi gelaran Terbuka Jepun buat kali keenam selepas menundukkan pemain Denmark, Jan O Jorgensen 21-18, 15-21, 21-16 pada aksi final, Ahad.
Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu hanya tewas sekali dalam 17 pertembungan dengan Jorgensen sebelum ini.
Namun sebelum pertemuan itu, Chong Wei berkata: “Saya ada rekod yang bagus tetapi saya tidak memandang rendah keupayaan Jorgensen.
“Saya akan lebih fokus terhadap rancangan permainan saya. Ini adalah kejohanan pertama saya selepas aksi Sukan Olimpik Rio dan saya gembira dapat mengekalkan prestasi untuk mara ke final di sini… saya amat gembira.
“Saya akan berusaha keras untuk memenangi gelaran juara keenam dalam Terbuka Jepun – itu janji saya,” katanya.
Pada Sabtu, pemain berusia 33 tahun itu mengatasi Marc Zwiebler dari Jerman 21-14, 21-15 dalam aksi separuh akhir di Tokyo.