Gerakan menyambut baik cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) agar satu undang-undang politik diperkenalkan iaitu Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.
Menurut Ketua Pemudanya, Tan Keng Liang cadangan ini pastinya dapat mengawal sebarang kemasukan dana kepada setiap parti politik mahupun kerajaan ataupun pembangkang.
Katanya lagi, undang-undang ini juga dapat menjawab segala persoalan yang timbul seperti sebelum ini mengenai dakwaan derma RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri dan sebagainya.
“Gerakan sebelum ini telah menghantar memorandum bahawa kita bersetuju dalam hal ini supaya dapat mengawal dana merangka apa-apa peraturan sumbangan dana politik,ia adalah perlu untuk mengawal ketirisan.
“Pihak kami amat setuju jika ada undang-undang sedemikian untuk pastikan semangat politik,” katanya kepada BNBBC.my portal.
Dalam undang-undang tersebut, ia merangkumi semua aspek berkaitan dengan semua sumbangan politik dan pentadbiran, perbelanjaan, pembiayaan aktiviti politik dan mengawal selia hubungan antara politik dan perniagaan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, antara cadangan yang disyorkan adalah sumbangan tunai daripada sumber asing kepada parti politik atau ahli politik adalah diharamkan, sumbangan kepada parti politik harus diberi pelepasan cukai, serta sumbangan darioada sumber yang tidak diketahui mesti disita.
Dalam pada itu, Tan menegaskan supaya pembangkang perlu konsisten dengan perjuangan mereka yang sebelum ini meminta kerajaan untuk tidak menyembunyikan sebarang butiran mengenai dana dan sebagainya.
“Mereka perlu setuju. Kenapa tak setuju pula?mereka juga kena telus beri butiran sama seperti kerajaan juga.kerajaan nak laksanakan apa yang mereka nak, tapi mereka pula bantah, sebab mereka tak mahu dedahkan bahagian mereka, mana boleh double standard.
“Kalau berkaitan dana asing, pada saya tak salah kalau parti politik menerimanya tapi perlu dikawal oleh jawatankuasa yang ditubuh supaya wang tersebut bukan digunapakai untuk kepentingan tertentu, umpanya dengan niat untuk menjatuhkan kerajaan,” ujarnya.
Tambah Tan, tiada alasan lagi untuk mereka menolak cadangan undang-undang tersebut kerana ia akan memberi penjelasan sepenuhnya mengenai dana yang diterima oleh setiap parti.