KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat koperal yang dipercayai mengalami tekanan perasaan melepaskan 10 tembakan ke udara di belakang Balai Polis Kuala Krau, Temerloh, semalam.
Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Azri Ahmad yang mengesahkan kejadian itu berkata insiden berlaku pada pukul 3.30 petang semalam, sebelum anggota yang menyertai polis sejak 2005 itu mahu memulakan tugas ronda jenayah pada pukul 4 petang.
“Anggota berkenaan telah melepaskan tembakan ke udara dan tiada kecederaan dilaporkan berlaku. Selepas kejadian, anggota berkenaan telah meninggalkan senjata di balai sebelum melarikan diri ke Jerantut untuk menenangkan diri.
“Bagaimanapun, anggota itu menyerah diri kepada pegawainya tengah hari ini dan dibawa ke Temerloh untuk siasatan,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini.
Azri berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam.
Beliau berkata anggota berkenaan yang mula bertugas di Balai Polis Kuala Krau pada tahun lalu kini diletakkan di bawah pengawasan polis.
Difahamkan sebelum kejadian, anggota itu dimaklumkan namanya keluar dalam senarai bertukar tempat kerja, dan selain melepaskan tembakan, beliau juga dikatakan memecahkan cermin kereta milik pegawai yang berada di kawasan balai.