SELEPAS lebih lima tahun pemimpin Libya, Muammar Gaddafi digulingkan dan dibunuh oleh rakyatnya sendiri, tiada siapa dapat menyangkal kenyataan bahawa negara itu mengalami huru-hara yang lebih teruk berbanding sebelumnya.
Atas nama demokrasi yang dilaungkan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, fikiran rakyat Libya telah diracuni untuk bangkit menentang Gaddafi sehingga mengundang pemberontakan di seluruh negara dan campur tangan negara luar.
Menerusi pendedahan akhbar Zimbabwe, Sunday Mail, ramai rakyat Libya mula menyuarakan rasa kesal kerana terlibat dalam penggulingan Gaddafi pada 2011.
Bekas pejuang revolusi yang menyertai pemberontakan, Mohammed, 32, berkata, sebelum 2011, dia sangat membenci Gaddafi.
“Malah saya menyertai tentera revolusi sejak hari pertama dan berjuang menentang Gadaffi.
“Tetapi hari ini, kehidupan semakin sukar berbanding dulu dan saya menjadi peminat setia Gaddafi,” katanya.
Pekerja stesen minyak, Haroun, 41, turut menyuarakan kekesalan menggulingkan Gaddafi atas nama demokrasi.
“Tindakan menyingkirkan Gaddafi merupakan satu kesilapan jelas kerana kami tidak bersedia untuk demokrasi.
“Kami juga memerlukan sokongan antarabangsa yang sehingga kini tidak muncul-muncul,” katanya.
Aktivis tempatan, Fadiel membuat perbandingan pada zaman pemerintahan Gaddafi dan zaman selepas beliau digulingkan.
“Lebih baik Gaddafi kekal memerintah kerana pada hari ini setiap orang sibuk bertelagah dan mencetuskan huru-hara. Situasi ini sangat memalukan,” katanya.
Kenyataan mereka itu mengulangi pendapat beberapa ahli politik Britain yang mengecam bekas Perdana Menteri David Cameron kerana mengetuai campur tangan di Libya pada 2011.
Pakatan antarabangsa yang diketuai Britan dan Perancis melancarkan serangan ke atas tentera Gaddafi selepas pemimpin negara itu mengugut untuk menyerang bandar Benghazi yang dikuasai kumpulan pemberontak.
Cameron mendakwa, campur tangan itu perlu dilaksanakan bagi mengelakkan pembunuhan beramai-ramai orang awam sedangkan, laporan baharu menyebut, Gaddafi tidak pernah memiliki rekod melancarkan serangan besar-besaran ke atas penduduknya sepanjang lebih 40 tahun memerintah.
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), kumpulan pembangkang dan media barat ketika itu mengeluarkan berita yang mendakwa rejim Gaddafi telah mengarahkan tenteranya merogol wanita, menggunakan askar upahan dari negara asing dan mengerahkan helikopter untuk menentang penunjuk perasaan.
Tetapi laporan pertubuhan hak asasi manusia, Amnestu International gagal menemukan sebarang bukti yang menunjukkan kerajaan Gaddafi melanggar hak asasi dan banyak kes seperti didakwa media barat sangat meragukan.
Kini rakyat Libya mendapati kehidupan mereka lebih sukar berbanding di bawah pemerintahan Gaddafi kerana penduduk awam terpaksa berdepan situasi bekalan elektrik dicatu sehingga sembilan jam.
Selain itu, negara juga berdepan krisis kewangan yang serius, menyebabkan mereka sukar menerima gaji dan harga barangan asas juga melambung serta kekurangan bekalan ubatan.
Gejala rasuah yang berleluasa juga menyebabkan kadar matawang dinar Libya semakin lemah.
Sesetengah rakyat Libya yang sebelum ini merupakan antara orang terkaya di negara Arab, mula mempertimbangkan pilihan untuk melarikan diri ke negara Eropah bagi memulakan hidup baharu.
Pelajar perubatan, Salem, 26, dari Tripoli berkata, dia menyangka keadaan akan bertambah baik selepas revolusi tetapi sebenarnya bertambah buruk dan semakin teruk.
“Lebih ramai rakyat mati dibunuh sejak 2011 berbanding semasa revolusi atau di bawah pemerintahan Gaddafi.
“Kami tidak pernah berdepan masalah seperti ini ketika beliau memerintah.
“Duit sentiasa ada, begitu juga bekalan elektrik dan walaupun tidak memiliki gaji besar, tetapi semuanya murah dan hidup ini sangat teratur.
“Ramai rakan saya mahu lari dari kemelut ini dan menyambung pengajian di luar negara tetapi saya perlu menunggu selama setahun untuk mendapatkan pasport baharu.
“Walaupun saya mendapat pasport, mungkin sukar untuk memohon visa kerana tiada lagi kedutaan asing di negara ini sejak 2014.
“Saya berasa seperti hidup di penjara di negara sendiri dan saya mula membenci negara saya ini,” katanya.
Soal keselamatan di Syria juga semakin hancur apabila rakyat tidak lagi berani untuk keluar pada waktu malam.
Ibu kepada seorang anak, Sara, 50, berkata, ketika zaman Gaddafi, dia biasa keluar malam berseorangan tanpa rasa takut.
“Tetapi kini saya tidak lagi berasa selamat untuk keluar apabila hari sudah gelap,” katanya.
Selain itu, ikatan kemasyarakatan rakyat Syria yang terdiri dari pelbagai puak juga sudah terputus apabila setiap wilayah, pekan dan puak hanya menjaga kepentingan masing-masing.
“Libya mati bersama Gaddafi.
“Kami bukan lagi sebuah negara. Kami hanya kumpulan puak, pekan dan bandar yang sedang berperang,” kata Tebu Mohammed.
Sejak Gaddafi digulingkan, Libya diterajui oleh tuju kerajaan tetapi masih gagal menyediakan kemudahan asas kepada rakyat negara itu terutamanya soal keselamatan apabila pengaruh militan Daesh sudah menular, sekali gus memburukkan lagi keadaan.
Kini Libya dikawal dua kerajaan bermusuhan iaitu satu kerajaan dipilih secara demotraktik dan beroperasi di utara negara manakala satu lagi kerajaan disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpusat di Tripoli.
“Negara ini sudah berpecah.
“Kami mempunyai dua kerajaan, dua Parlimen, dua Bank Pusat dan dua Syarikat Minyak Negara,” kata bekas diplomat Libya, Abdulsaelm, 48.
Malah katanya, revolusi yang dilaung-laungkan pada 2011 adalah pembohonan semata-mata.
“Kami rakyat Libya sebenarnya tidak tahu erti sebenar revolusi. Hidup kami dilindungi selama 42 tahun di bawah pemerintahan Gaddafi.
“Ini bukan revolusi Libya tetapi revolusi NATO yang mahu menghapuskan Gaddafi,” katanya.