IPOH: Kementerian Pengangkutan merancang untuk menyediakan kemudahan liputan WiFi dalam perkhidmatan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya menerima banyak permintaan supaya kemudahan itu disediakan dalam ETS.
Katanya, cadangan itu disambut baik dan dipertimbangkan sebagai usaha merancakkan aktiviti pengangkutan di negara ini, selain menarik lebih ramai pengguna perkhidmatan itu.
“Kita sudah menyempurnakan landasan berkembar dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan seterusnya ke Padang Besar.
“Setakat ini, sambutan pengguna amat menggalakkan.
“Ada yang meminta ETS menyediakan WiFi, maka saya akan menyokong cadangan itu bagi membolehkan pengguna mendapat kemudahan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA di sini, hari ini.
Tiong Lai berkata, secara purata perkhidmatan ETS mampu menampung 6,000 penumpang bagi hari biasa manakala 12,000 orang pada hujung minggu dan cuti umum.
Katanya, pihaknya dalam perancangan menambah kereta api ETS dalam masa terdekat bagi menampung permintaan rakyat.