HULU BERNAM: Ribuan ikan di Sungai Bernam sempadan negeri Selangor dan Perak dekat sini ditemui mati dipercayai akibat pencemaran, semalam.
Ketua Kampung Sungai Selisik, Ishak Ahmad, 50, berkata, kejadian itu disedari oleh penduduk kampung dan nelayan sungai ketika mencari ikan.
Katanya, siasatan pihaknya bersama Ketua Pasukan Sukarelawan Perikanan (Super) Daerah Muallim, Saiful Zizuan Mahayudin, 41 serta dua ahlinya kemudian mendapati dakwaan itu benar dan banyak ikan terapung di tepi sungai.
“Kita sudah membuat laporan kepada Jabatan Perikanan Perak untuk dipanjangkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan selanjutnya.
Saya mewakili penduduk terutama nelayan sungai kesal dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu kerana bukan sekadar mencemarkan air dan alam sekitar malah membunuh hidupan dalam sungai itu.
“Nelayan sungai menjadikan sungai itu sebagai sumber pendapatan utama untuk menjalani kehidupan mereka dan jika perkara ini berlaku dan tidak dibendung secara serius sudah pasti menjejaskan hasil pendapatan dan kehidupan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Perikanan negeri yang dihubungi, mengesahkan menerima aduan kematian ikan itu jam 11.45 pagi tadi.
Difahamkan, pegawai Jabatan Perikanan Daerah Tapah sedang menguji sampel air sungai yang diambil dekat Behrang di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Selisik.