Dengan adanya undi daripada veteran, sekurang-kurangnya anak muda tidak memandang sepi terhadap sumbangan mereka untuk bangsa, agama dan negara.
UMNO perlu pertimbangkan untuk memasukkan golongan veteran dalam perlembagaan parti bagi membolehkan kumpulan itu mempunyai hak mengundi.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengambil contoh, jika ada bahagian mempunyai hak pengundian sebanyak 15 undi, sekurang-kurangnya 20 peratus atau tiga undi itu harus datang daripada golongan veteran.
“Saya berpandangan UMNO perlu melihat peranan veteran untuk dijadikan sebagai komponen dalam menentukan pemilihan kepimpinan.
“Dengan adanya undi daripada veteran, sekurang-kurangnya anak muda tidak memandang sepi terhadap sumbangan mereka untuk bangsa, agama dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator Amurad Md Yassin mengenai kepimpinan kini termasuk anak-anak muda memperlihatkan penerimaan mereka terhadap perjuangan veteran pada Forum ‘Veteran UMNO Merentas Zaman’, di sini malam tadi.
Abdul Aziz merupakan anggota panel forum itu selain bekas pensyarah Sejarah Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Abdul Malik Munip.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, anak muda berada dalam parti hari ini menikmati hasil perjuangan daripada veteran, namun segelintir daripada mereka tidak bersungguh-sungguh dalam mempertahankan perjuangan.
“Hari ini, menjadi masalah kepada anak muda ialah perjuangan mereka bukan berdasarkan keikhlasan, tetapi lebih rakus untuk berlumba-lumba merebut hasil yang disumbangkan veteran,” katanya.
Menurut beliau, apabila kerakusan itu terlalu menguasai diri, maka tidak hairan ada anak-anak muda kini terutama Melayu sanggup menjadi calon DAP dalam pilihan raya dan menyokong parti terbabit.
“Di mana jati diri anak Melayu yang lupa akan sejarah perjuangan orang Melayu sebagaimana orang Melayu menderita ketika zaman Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya).
“Anak-anak muda Melayu hari ini sanggup menjadi alat DAP dan apabila mereka sanggup bersama-sama menyertai parti itu, di sini, saya melihat satu perkara harus kita (UMNO) perbetulkan balik iaitu demokrasi terbabas,” katanya yang merupakan Anggota Parlimen Sri Gading.
Abdul Aziz berkata ‘demokrasi terbabas’ membenarkan demonstrasi atau perhimpunan secara aman dan seumpamanya dilakukan, dan ia adalah tidak sesuai diamalkan di negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.
Katanya, ini kerana ia hanya memberi ruang kepada musuh-musuh UMNO untuk mengambil kesempatan menjatuhkan parti dengan bekerjasama dengan pihak luar, terutama dari Amerika Syarikat (AS). –