KUALA LUMPUR 5 Ogos – Langkah bapa Mohd. Saiful Bukhari, Azlan Mohd. Lazim meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meneliti perkara yang boleh menyebabkan perbicaraan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas anaknya pada Isnin ini ditangguhkan adalah tindakan yang baik.
Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, ini kerana kes liwat tersebut sudah terlalu lama berlangsung di mahkamah dan perlu disegerakan bagi membolehkan sistem keadilan dilaksanakan dengan sewajarnya.
Katanya, sudah genap tiga tahun kes liwat tersebut dibicarakan di mahkamah dan dalam tempoh itu sudah 65 kali penangguhan dilakukan semuanya atas permintaan Anwar sendiri.
“GAPS melihat kes ini sudah terlalu lama ditangguhkan dan pelbagai helah dibuat. Jadi apabila bapa Mohd. Saiful membuat permintaan kepada Suhakam, ia adalah langkah baik.
“Ini kerana Suhakam adalah platform terbaik untuk melihat keadilan dapat dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas permintaan yang dibuat Mohd. Azlan kepada Suhakam sebelum ini kerana percaya bahawa anaknya itu perlu mendapat hak untuk diadili dalam tempoh munasabah.
Hamidzun berkata, GAPS turut menggesa supaya Suhakam mengambil serius perkara itu berdasarkan beberapa perkara terutamanya apabila kes tersebut melibatkan kepentingan negara kerana tertuduh adalah seorang Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia.
“Kita juga tidak mahu keadilan terhadap Mohd. Saiful dinafikan hanya kerana kes yang tertangguh. Ini juga melibatkan kepentingan rakyat apabila seorang pemuda menjadi mangsa liwat sehingga masa depannya gelap kerana kes ini,” katanya.
Katanya, Suhakam juga perlu menulis surat kepada Ketua Hakim Negara meminta agar kes liwat itu disegerakan memandangkan mahkamah telah memerintah Anwar memberi keterangan bela diri ke atas pertuduhan liwat selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atas pertuduhan itu.
“GAPS turut mendesak supaya keterangan bela diri oleh Anwar bermula 8 hingga 26 Ogos ini dapat diteruskan tanpa sebarang helah lagi oleh Ketua Pembangkang itu,” katanya.