Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui perkhidmatan KTM Komuter akan menawarkan Kad Komuter Link (Dewasa) pada harga serendah RM2 berbanding harga asal RM10 selama sebulan bermula hari ini.
Ketua Komunikasi Korporatnya, Ridhwan Arshad berkata, tawaran harga bertujuan menggalakkan orang ramai terutamanya pengguna tegar KTM Komuter untuk menggunakan kad tersebut sebagai pilihan utama transaksi tambang.
“Inisiatif ini akan menarik lebih ramai pengguna beralih kepada bayaran tambang tanpa tunai dengan penjimatan sehingga 20 peratus.
Pengguna perlu bijak memilih penggunaan perkhidmatan yang menjimatkan nilai dan masa mendapatkan tiket.
“Kad tersebut boleh dibeli di kaunter tiket KTM Komuter, mesin tiket ataupun Mobile Team di semua stesen utama sepanjang tempoh promosi sehingga 5 Februari. Pengguna hanya perlu membuat penambahan nilai minimun RM10 bagi tujuan perjalanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.