LUNDU: Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N03 Tanjong Datu pada 18 Feb ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Reformasi Negeri (Star) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru.
Ia melibatkan calon BN Datuk Amar Jamilah Anu, Rapelson Richard Hamit daripada PBDS Baru dan Johnny Aput (Star), menurut Pegawai Pengurus PRK DUN Tanjong Datu Hamsein Atar ketika mengumumkannya di pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Lundu hari ini.
PRK DUN Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima Tan Sri Adenan Satem, akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.
Kerusi DUN Tanjong Datu kosong susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai Tok Nan akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan akibat pada 11 Januari lalu.
Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), 7 Mei tahun lalu, Allahyarham mengekalkan penguasaan di kerusi berkenaan, yang juga ‘kubu kuat’ BN Sarawak, dengan memperoleh majoriti 5,892 undi, menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan.
Suruhanjaya Pilihanraya menetapkan 18 Februari ini sebagai hari mengundi.
BN Sarawak yang bermesyuarat pada 1 Februari lepas memutuskan untuk meletakkan balu Allahyarham, Puan Sri Jamilah Anu, sebagai calon pada PRK ini, manakala PKR yang turut bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas mengumumkan tidak akan turut serta dalam PRK ini.
Kira-kira 250 petugas pilihan raya dilantik untuk mengendali proses PRK yang dianggar menelan belanja RM997,919, yang mempunyai 9,959 pemilih berdaftar, terdiri daripada 9,771 pengundi biasa dan 188 pengundi awal.