Jawapannya adalah “TIDAK”.
—
TAK PERLU TUNGGU KAMI LAGI, KATA HADI KEPADA MAHATHIR
Kerjasama PAS dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin sukar direalisasikan memandangkan parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan parti yang menjalinkan hubungan dengan DAP dan Amanah.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tekanan diberikan Tun Dr Mahathir Mohamad agar partinya menetapkan keputusan segera juga dilihat tidak relevan.
“Kita sudah ada dasar, tidak bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah. Kita tidak ada hubungan dengan mereka (PPBM).
“Jadi, tidak perlu tunggu kerana apabila sudah ada hubungan dengan DAP dan Amanah, maka habislah,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya, hari ini.
Ia juga sekali gus menjelaskan mengenai kenyataan Dr Mahathir yang menyatakan keengganannya bertemu Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada 1 Februari lalu, pertemuan pemimpin PAS-PPBM diadakan secara tertutup. Datuk Seri Mukhriz Mahathir hadir mewakili PPBM manakala, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula mewakili PAS.
Walaupun tiada keputusan bersama, satu rangka kerjasama menerusi jawatankuasa teknikal ditubuhkan sewaktu pertemuan itu.
Semalam, Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM terus menekan PAS dan memberi masa selama sebulan untuk ia menetapkan keputusan sama ada akan sertai Pakatan Harapan atau tidak.
Dr Mahathir berkata, selepas pertemuan 1 Februari lalu, keputusan segera harus diperoleh bagi menentukan strategi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sementara itu, Hadi berkata akan menilai semula hubungan diantara partinya dengan PKR pada muktamar tahun ini yang dijadualkan berlangsung pada 28 April di Alor Setar, Kedah.
“Dengan PKR, kita akan buat keputusan semasa muktamar tahun ini. Keputusan itu akan diketahui semua pihak, tidak ada masalah.
“Masalah politik kita hanyalah DAP dan Amanah, kerana mereka menyatakan tentangan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) 355, menentang syariah.
“Itu sempadan yang mereka tidak boleh langgar. Kita juga ada dasar tidak akan bekerjasama atau hubungan dengan parti menentang Islam,” katanya.
PAS sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP ekoran tindakannya membantah usul Hadi di Dewan Rakyat untuk meminda akta Mahkamah Syariah.
Tindakan PAS menyebabkan kerjasama di dalam Pakatan Rakyat musnah bahkan terbentuk parti serpihan PAS, iaitu Amanah.