Kita sering dimaklumkan bahawa kerajaan melaksanakan kerja berasaskan tanggungjawab bersama dan kabinet membuat keputusan dalam perkara yang penting membabitkan isu sensitif seperti pendidikan, pertahanan, keselamatan dalam negeri, dasar luar negara dan banyak lagi.
Hakikatnya, keputusan membabitkan perkara sebegini terlalu sensitif untuk digalas atas bahu seorang individu.
Pembelian kapal selam Scorpene daripada Perancis antara perkara penting kerana ia melibatkan soal keselamatan negara. Seperti perkara lain yang berada dalam kategori itu, ia melalui proses yang sama sehingga kontrak pembeliannya ditandatangani pada Jun 2002 selepas beberapa siri rundingan semenjak tahun 1995 dan tertangguh pada tahun 1997/98 akibat krisis kewangan Asia.
Pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi masih menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Tidakkah salah seorang daripada mereka mengetahui secara terperinci butiran perjanjian jual beli tersebut? Persoalannya mengapakah mereka seperti menutup mata dan buat macam tidak tahu apa-apa?
Sudah tentu rundingan pembelian dua kapal selam berkenaan sudah bermula lebih awal sebelum perjanjiannya ditandatangani pada Jun 2002. Pada ketika itu Timbalan Menteri Pertahanan telah memaklumkan Dewan Rakyat mengenai kontraknya apabila perkara itu dibangkitkan.
Bahkan timbalan menteri berkenaan telah memaklumkan Dewan Rakyat jumlah yang akan dibayar kepada syarikat Malaysia bukannya komisyen tetapi kos perkhidmatan, penyelenggaraan dan latihan.
Kedua-dua mereka iaitu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebenarnya tahu dan menyedari apa yang berlaku. Begitu juga dengan Ahli Dewan Rakyat dan kabinet. Jadi ianya bukan rahsia, bukan setakat kabinet tetapi juga di dalam Dewan Rakyat meskipun ketika itu jumlah pembangkang tidak seramai sekarang.
Keadaan yang berlaku sekarang adalah sebaliknya apabila pembelian kapal selam Scorpene seolah-olah dilakukan secara rahsia antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pihak Perancis.
Peliknya Najib telah diminta menjelaskan butiran pembeliannya seperti hanya beliau seorang sahaja yang tahu.
Bukankah kita boleh merujuk kepada dokumen yang direkodkan di Dewan Rakyat. Memang tidak dapat dinafikan minit mesyuarat kabinet dilindungi Akta Rahsia Rasmi (OSA), khususnya yang berkaitan dengan pertahanan dan keselamatan negara tetapi pastinya Perdana Menteri dan Timbalannya pada masa berkenaan (2002) boleh mendapatnya terus.
Ia amat penting untuk menjelas berhubung isu pembelian kapal selam ini kerana mempunyai implikasi kepada kes pembunuhan yang dikaitkan dengannya.
Sebelum ini pihak berkuasa Perancis telah membuktikan Altantuya Shaariibu tidak mempunyai hubungan langsung dengan rundingan kontrak. Malang sekali orang ramai tidak dimaklumkan maklumat penting ini. Sebab itu, pengkritik Najib membangkitkan isu ini dan mendesak penjelasan daripada beliau dan beranggapan bahawa perkara ini masih belum selesai.
********
https://m.malaysiakini.com/news/11663
Malaysia seals RM3.7 bln maiden deal to buy French submarines