KUALA LUMPUR: Keyakinan masyarakat India terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menunjukkan peningkatan menggalakkan sejak pengumuman Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB), April lalu.
Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata keyakinan masyarakat India itu jelas dilihat mula bertukar menjadi sokongan terhadap kerajaan sedia ada.
Katanya, MIB yang diumumkan itu secara sistematik dan positif membantu membangunkan ekonomi masyarakat India, memperkukuh sekolah Tamil serta pelbagai perancangan lain dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“MIB memberi keyakinan baharu kepada masyarakat India dan kita boleh nampak keyakinan ini terjelma sebagai sokongan kepada kerajaan.
“Kita akan terus memberikan penjelasan kepada masyarakat India dan meningkatkan keyakinan mereka serta memastikan perkara yang diumumkan berjaya,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Batu Caves dekat sini, hari ini.
Pada 23 April lalu, Najib mengumumkan pelaksanaan MIB yang menggariskan transformasi tiga asas utama iaitu membasmi kemiskinan, perumahan dan kestabilan keluarga masyarakat India di negara ini.
Menyasarkan segmen masyarakat India berpendapatan bawah 40 peratus (IB40), pelan tindakan untuk tempoh 10 tahun itu dilancarkan kerajaan bagi memastikan kaum berkenaan tidak tercicir daripada arus pembangunan.
Terdahulu, Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC itu dihadiri Najib kira-kira jam 10.45 pagi dan dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 10,000 penganut agama Hindu seawal jam 8.30 pagi.
Ketibaan Najib yang juga Presiden UMNO disambut Subramaniam dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany serta barisan pemimpin MIC.
Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Tun S Samy Vellu; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong.
Mengulas mengenai Bajet 2018 yang akan diumumkan pada 27 Oktober, Subramaniam berkata, beberapa cadangan sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri dan berharap ia akan diteliti sepenuhnya bagi membantu pelaksanaan MIB.