“The only thing consistent about the opposition is they are always inconsistent,” kata Datuk Seri Najib ketika membentang Bajet 2018. Ayat ini memang sesuai benar dengan sikap pembangkang, DAP-Pakatan Harapan.
Mereka bukan sahaja tidak konsisten dalam parti mereka sendiri malah dalam percakapan dan janji mereka kepada rakyat, mereka sering bertukar tukar pendirian. Semalam pun sama, Mahathir menyatakan ada plan B untuk Pakatan Harapan, jika tidak boleh didaftar oleh ROS.
Plan B apa lagi? ROS hanya meminta logo baru ditukarkan. Mahathir berkata, pihaknya akan membuat logo dan simbol baharu dalam tempoh dua hari serta mengemukakannya kepada ROS. Ini kata kata Mahathir pada 28 Julai 2017. Kata dua hari boleh siap, sekarang bila sudah 100 hari, mengapa salahkan ROS pula?
Berjanji buat logo parti sendiri pun mereka boleh mungkiri, apatah lagi berjanji kepada rakyat. Samalah juga pendirian Pakatan Harapan ini mengenai BR1M. Dulu
Mahathir kata ia adalah rasuah kerana guna duit untuk beli undi rakyat waktu pilihan raya.
Pendapat Mahathir turut disokong Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang setuju pemberian BR1M adalah rasuah. Pada 30 Disember 2016, Azmin kata BR1M adalah ibarat sogokan politik ketika itu berbeza pendapat dengan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berpendapat BR1M bukanlah rasuah.
“Bagi saya BR1M adalah salah satu bentuk rasuah.. ia adalah salah satu cara sogokan.. Sogokan boleh dibuat dalam pelbagai. Kalau nak dikatakan bantuan untuk jana ekonomi, ia tidak mampu berbuat demikian, nilai RM600 boleh habis dalam dua hari,” kata Azmin.
Sudahnya, dalam dokumen Bajet Alternatif Pakatan Harapan tempoh hari, mereka sepakat pula hendak laksanakan BR1M tapi dengan syarat tambahan yang amat mengelirukan. Tidak malu Azmin, sekarang Bajet Alternatif sudah tiru BR1M yang diperkenalkan Datuk Seri Najib sejak 2012 lagi.
Azmin dan Mahathir sudah “U TURN” pendirian mereka mengenai BR1M. Pada 30 Oktober 2017, Wan Azizah mendakwa ‘pertambahan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membuktikan dasar ekonomi kerajaan gagal mengeluarkan rakyat daripada belenggu kemiskinan’
Kenyataan Wan Azizah mengenai BR1M ini menampakkan bahawa Ketua Pembangkang itu tidak melakukan ‘homework” langsung sebelum bercakap. Ketika awal diperkenalkan, BR1M hanya diberi kepada keluarga yang berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah.
Pada tahun 2013, syarat itu ditambah baik kepada individu bujang. Tahun 2014, pendapatan penerima BR1M dinaikkan kepada RM4,000. Maka ini sebabnya penerima BR1M bertambah. Jelas sekali apa yang Wan Azizah cakap itu tidak betul sama sekali.
Selepas BR1M, pembangkang juga buat kenyataan berubah-ubah dalam hal memansuhkan kutipan tol. Sebelum ini di mana-mana ceramah politik mereka kritik kerajaan kerana banyak kutip tol di sana sini dengan tuduhan wang hasil kutipan tol akan digunakan untuk rasuah dan bukannya untuk rakyat. Zaman siapa yang buat banyak tol itu?
Dalam Bajet Alternatif, Pakatan Harapan menyatakan akan memansuhkan kutipan tol di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan tol Jambatan Pulau Pinang jika mereka menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti. Tol di Sungai Nyiur Pulau Pinang pun sudah dua penggal DAP perintah, tidak dimansuhkan pun. “Lima kupang” pun tidak mampu hendak mansuh.
Bagaimanapun, selepas pembentangan Bajet 2018, Wan Azizah kata pemansuhan empat plaza tol yang diumumkan kerajaan akan bebankan rakyat pula. Wan Azizah sudah ‘U Turn” mengenai janji mansuhkan tol.
30 Oktober 2017, dalam Sinar Harian, Wan Azizah kata rakyat akan tanggung beban akibat pemansuhan empat tol seperti yang diumumkan kerana kerajaan tidak akan mengeluarkan kos untuk pemansuhan itu.
“Saya mohon jangan terburu-buru mengalu-alukan permansuhan empat tol ini” kata Wan Azizah. Sedangkan lima hari sebelum itu, ketika membentangkan Bajet Alternatif, Wan Azizah menyatakan bahawa Pakatan Harapan sedia memansuhkan tol.
Penyakit ‘U Turn” Mahathir sudah berjangkit kepada Wan Azizah nampaknya. Sudah tidak konsisten dan tidak tahu lagi apa yang mereka cakap dan janji kepada rakyat. Penyakit tidak konsisten ini amat merbahaya, bila bila masa sahaja pembangkang boleh tukar janji dan mungkiri janji.
Pembangkang buat janji itu untuk dapatkan undi sahaja. Satu undi pada PRU14 nanti bukanlah sesuatu yang boleh diperjudi. Tersilap undi boleh menyebabkan padah menanti.
Lebih lebih lagi bila mengundi kerana terpedaya dengan janji pihak Pakatan Harapan. BR1M dan pemansuhan tol ini bukti pembangkang tidak konsisten dalam berjanji. Barisan Nasional lebih konsisten dan boleh dipercayai berbanding pembangkang yang selalu mungkir janji.