Di atas dasar keprihatinannya, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkesempatan melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur petang tadi.
Susulan itu, Perdana Menteri memuat naik gambar kunjungan ke akaun Twitternya.
“Saya melawat Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur hari ini.
“Beliau baru selesai menjalani pembedahan beberapa hari yang lalu.
“Semoga beliau cepat pulih,” kata Najib.
Turut kelihatan dalam gambar dimuat naik ialah isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Najib sebelum ini pernah melawat pemimpin pembangkang lain di hospital seperti Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dan bekas Mursyidul Am, Datuk Haron Din.
Pada masa sama, langkah dibuat Perdana Menteri itu dipuji oleh netizen yang menghargai tindakan beliau melawat rakan lama walaupun berlainan aliran politik.
Netizen juga melihat Najib sebagai pemimpin berjiwa murni, walaupun Pengerusi BN itu sering dicerca dan diperlekeh pembangkang.
Pada Ahad lalu, Anwar menjalani pembedahan di bahu kanan berikutan kecederaan semakin teruk akibat kemalangan September lalu di persimpangan Saujana Utama, Selangor.
Sebagai reaksi kepada lawatan Najib, keluarga Anwar diwakili anak lelakinya, Muhamad Ihsan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia.