Kerja baik pulih landasan dan pengalihan gerabak tren kargo yang terbalik antara Stesen Bank Negara – Stesen Kuala Lumpur, Khamis lalu dijangka berlarutan hingga 3 Disember ini.
KTM Bhd (KTMB) dalam enyataan, hari ini menjelaskan bahawa kelewatan itu susulan keadaan cuaca di ibu negara yang kerap hujan sekali gus mengganggu kelancaran jadual baik pulih yang diatur sebelum ini.
Selain itu, kedudukan tren gerabak yang terbalik yang terletak di terowong berhampiran Stesen Bank Negara menyukarkan kerja-kerja pengalihan gerabak.
KTMB sebelum ini memaklumkan perkhidmatan tren akan kembali pulih pada Selasa selepas 12 gerabak tren kargo terbalik pada jam 2.58 pagi, Khamis lalu.
Menurut kenyataan itu lagi, status operasi perkhidmatan tren KTMB dan aturan pengangkutan alternatif yang disediakan masih kekal sama seperti sebelum ini.
Berikut adalah aturan pengangkutan alternatif yang disyorkan KTM Berhad:
Perkhidmatan KTM Komuter
LALUAN TANJUNG MALIM – PELABUHAN KLANG
Perkhidmatan komuter hanya beroperasi di antara laluan Stesen Tanjung Malim – Stesen Kepong dan Stesen KL Sentral – Stesen Pelabuhan Klang.
Tiada perkhidmatan tren komuter di antara laluan Stesen Kepong – Stesen KL Sentral.
Bas disediakan oleh KTMB bagi laluan Stesen Segambut ke Stesen KL Sentral dan sebaliknya, bermula jam 6.00 pagi hingga 12.00 malam, dengan kekerapan setiap 30 hingga 45 minit, bergantung kepada keadaan kelancaran atau kesesakan lalu lintas jalan raya.
Laluan Batu Caves – Seremban – Tampin/Pulau Sebang
Perkhidmatan komuter hanya beroperasi di antara laluan Stesen Batu Caves – Stesen Sentul dan Stesen KL Sentral – Seremban – Tampin/Pulau Sebang.
Bas disediakan oleh KTM Berhad bagi laluan Stesen Sentul ke Stesen KL Sentral dan sebaliknya, bermula jam 6.00 pagi hingga 12.00 malam, dengan kekerapan setiap 20 hingga 30 minit, bergantung kepada keadaan kelancaran atau kesesakan lalu lintas jalan raya.
Jangkaan kelewatan perkhidmatan tren KTM Komuter bagi semua laluan adalah di antara 30 hingga 45 minit.
Para penumpang juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan baik dan digalakkan untuk menggunakan alternatif pengangkutan awam sedia ada di sektor Lembah Klang seperti perkhidmatan tren MRT, LRT dan bas GO KL untuk ke destinasi dituju.
Perkhidmatan ETS
Laluan sektor utara (Padang Besar/Butterworth – Ipoh – KL Sentral – Gemas)
Perkhidmatan tren ETS dari Sektor Utara akan beroperasi hingga di Stesen Sungai Buloh. Para penumpang akan dibawa menggunakan perkhidmatan tren MRT (pergerakan penumpang akan diaturkan juga diiringi oleh kakitangan KTMB dan para penumpang tidak perlu membayar untuk tambang perkhidmatan MRT) dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen KL Sentral dan meneruskan perjalanan ke Stesen Gemas menggunakan perkhidmatan tren ETS.
Laluan sektor selatan (Gemas – KL Sentral – Ipoh – Butterworth/Padang Besar)
Perkhidmatan tren ETS dari Sektor Selatan akan beroperasi hingga Stesen KL Sentral. Para penumpang akan dibawa menggunakan perkhidmatan tren MRT (pergerakan penumpang akan diaturkan juga diiringi oleh kakitangan KTM Berhad, dan para penumpang tidak perlu membayar untuk tambang perkhidmatan MRT) dari Stesen KL Sentral ke Stesen Sungai Buloh dan meneruskan perjalanan ke Stesen Padang Besar, Stesen Butterworth dan Stesen Ipoh menggunakan perkhidmatan tren ETS.
Pengangkutan van turut disediakan khas bagi para penumpang warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) untuk keselesaan dan keselamatan mereka, bagi perjalanan Stesen Sungai Buloh ke Stesen KL Sentral dan sebaliknya.
Jangkaan kelewatan perkhidmatan tren ETS bagi semua laluan adalah di antara 30 hingga 60 minit.
Para penumpang tren ETS yang ingin membatalkan perjalanan layak untuk mendapatkan pemulangan tambang penuh atau membuat pertukaran tarikh perjalanan bergantung kepada kekosongan tiket.
Kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan sebarang perkembangan terkini, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KTM Berhad memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila layari laman Twitter rasmi KTM Berhad di @ktm_berhad dan hubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di 03-2267 1200.