Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyifatkan tidak wajar bagi Mydin memainkan sentimen dengan memberikan gambaran tidak tepat terhadap program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu berkata, dakwaan kononnya program KR1M merugikan Mydin hanya akan menyusahkan kerajaan dan tindakannya itu seolah-olah senada dengan pembangkang pula.
“Kita guna statistik daripada hanya perasaan, emosi, memainkan sentimen ini menyusahkan kita.
“Jangan main sentimen, itu biar pembangkang sahaja buat kerja ini, beritahu Mydin dia bukan pembangkang,” kata beliau semasa sesi taklimat mengenai KR1M 2.0 hari ini.
Hamzah berkata demikian ketika menjawab kenyataan Datuk Ameer Ali Mydin kononnya rakyat tidak mempunyai wang untuk berbelanja walhal banyak kedai-kedai baharu dibuka oleh syarikat itu.
“Jadi dia mempuyai perasaan mengatakan bahawa rakyat dah tidak ada wang untuk berbelanja… (jika sedemikian) tak mungkin dia buka banyak cawangan.
“Saya hairan kerana saya difahamkan total outlet (jumlah cawangan) dia (Mydin) ada lebih 100, jangan main sentimen,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Hamzah menjelaskan faktor lokasi dikenalpasti menjadi punca penurunan jualan, malah pasar-pasar raya besar juga berdepan masalah sama.
“Giant ada 118 outlet. Daripada jumlah itu sehingga akhir Disember 2017 ia tutup lapan stor dan buka baharu satu. Tesco ada 57, tahun ini buka dua dan tutup satu, AEON ada 34, tambah satu lagi yang baharu.
“Saya panggil pengurusan Giant mengapa lapan ini (tutup), mereka beritahu saya sebab lokasi. Apabila satu keadaan kita berniaga, kadangkala lokasi yang kita letak itu sesuai ketika kita bangunkan tempat itu tapi sudah sampai masanya ada perubahan di situ,” terang beliau.
Jelasnya lagi, sektor peruncitan menunjukkan peningkatan apabila statistik terbaharu Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) mencatat peningkatan 7 peratus pada 2017.
“MRCA keluar kenyataan dua hari sudah, sektor peruncitan ada penambahan dari segi pendapatan,” katanya.
Rujukan:
https://pakdin.my/portal-pro-pembangkang-spin-kenyataan-pengarah-urusan-mydin/