LANGKAWI – Pengiktirafan badan-badan dunia terhadap kedudukan sebenar Malaysia terutamanya dalam bidang ekonomi membuktikan tuduhan pembangkang kononnya negara ini akan bankrap hanyalah pembohongan semata-mata.
Menyifatkan kata-kata pembangkang sebagai tidak boleh dipercayai atau ‘tidak boleh pakai’, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, apa yang dizahirkan pembangkang itu jauh berbeza berbanding laporan badan dunia antaranya Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta Forum Ekonomi Dunia (WEF).
“Kalau negara kita bankrap, tentu sekali Bank Dunia, IMF dan WEF tak puji malah kutuk habis-habisan. Tetapi, tiada pun laporan mereka yang mengatakan ekonomi kita ini terjerumus ke arah muflis atau bankrap.
“Bukan sahaja badan-badan dunia tidak bersetuju dengan dakwaan mereka itu, malah pertumbuhan ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus, ringgit mengukuh dengan prestasinya menjadi antara terbaik di dunia manakala nilai eksport mencatat sejarah mencecah RM83.5 bilion pada November 2017,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Teh Tarik Santai dan Mesra Rakyat bersama kira-kira 1,000 masyarakat India di Dewan MIC Kisap di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Mohd. Hanipah; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad.
Sementara itu, katanya, percakaran dalam parti pembangkang yang baru ‘setahun jagung’ ditubuhkan menunjukkan betapa mereka tidak boleh diharap untuk membawa harapan rakyat menuju masa depan yang lebih baik apatah lagi untuk menyelamatkan Malaysia.
“Di situ jelas, hanya pada kerajaan Barisan Nasional (BN) tempat untuk masyarakat India dan rakyat Malaysia bergantung,” jelasnya.
Sementara itu, ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Cina di Pusat Konvensyen Antarabangsa Mahsuri di sini, malam ini, Perdana Menteri membayangkan akan ada lebih banyak penerbangan terus dilakukan dari serata dunia ke pulau legenda ini dan sebaliknya, seiring potensi besar Langkawi untuk menjadi pusat pelancongan terulung dunia.
“Tidak lama dulu saya melancarkan beberapa penerbangan AirAsia dari China terus ke Langkawi dan kini kita berusaha untuk mendapatkan lebih banyak lagi penerbangan terus.
“Kita mahu tarik lebih ramai pelancong berkemampuan tinggi dari serata dunia ke sini dan itu sudah tentu mendatangkan faedah besar kepada penduduk tempatan,” katanya.
Hadir sama ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid.