Apa nak pening fikir soal tempoh edah pemilihan parti UMNO.
Besok bubar, bulan depan PRU14 dan selepas PRU pada April 2018 buatlah pemilihan parti.
Kalau nak PRU lewat, buat rayuan kepada Pendaftar Pertubuhan minta tangguh lagi 2 bulan… selesai masalah.
Pembangkang dah kehabisan isu!
————-
Kali pertama Majlis Tertinggi (MT) UMNO menunda pemilihan parti ialah pada tahun 1999. Pemilihan itu ditangguh sehingga Mei 2000 bertujuan membolehkan parti memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU-10) pada tahun 1999.
Ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad itu, UMNO sedang mengalami krisis dalaman terutama selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada semua jawatan dalam parti dan kerajaan pada 1998.
Tindakan menangguh tarikh pemilihan itu adalah bagi mengukuhkan kembali parti dan menyatukan semula perpaduan ahli akar umbi.
Selepas itu, UMNO pernah menangguhkan beberapa lagi pemilihan parti. Ketika era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, UMNO menangguhkan pemilihan yang sepatutnya diadakan pada tahun 2003 kepada tahun 2004. Pemilihan parti pada tahun 2007 juga ditunda kepada tahun berikutnya.
Pada zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, UMNO turut melakukan perkara sama. UMNO pernah menunda pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung pada tahun 2011 sehingga 2013.
UMNO hanya mengadakan pemilihan parti pada Oktober 2013 kerana hendak memberi tumpuan kepada proses pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan Model Politik Baharu iaitu bagi memastikan kelangsungan UMNO sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.
Dan kelmarin, MT UMNO sekali lagi membuat keputusan sama iaitu menangguhkan tarikh pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada tahun depan, ke satu tarikh lain yang akan ditentukan dalam tempoh selama 18 bulan selepas berakhirnya mandat kepemimpinan parti yang berakhir pada tahun 2016.
Maklum balas luar biasa
Anehnya, keputusan dibuat MT UMNO kali ini nampaknya begitu hangat diperkatakan. Keputusan itu mendapat maklum balas yang agak luar biasa daripada penganalisis politik, pemerhati dan pengamal media khasnya yang propembangkang. Ulasan dibuat mengenainya banyak berbaur sinis dan provokatif.
Hampir keseluruhan maklum balas yang tersebar di dalam media khasnya media sosial, portal berita dan blog propembangkang memberikan andaian dan analisis bersikap prejudis terhadap Najib dan kepemimpinan UMNO, pada hal penangguhan itu bukan perkara baharu dan perkara sama pernah dilakukan Dr Mahathir dan Abdullah.
Sekiranya melihat sejarah pemilihan UMNO dan prosedur pemilihan, sebenarnya tidak ada sesuatu yang janggal pun mengenainya. Selain mengikut peraturan seperti termaktub dalam perlembagaan parti, penundaan tempoh pemilihan parti misalnya dibuat atas alasan yang munasabah.
Sebagai parti yang menjadi peneraju pemerintahan negara, sudah tentu menjadi satu kewajipan bagi UMNO untuk mencari langkah terbaik bagaimana hendak menguatkan parti dan pada masa sama memberi fokus menjaga kebajikan masyarakat.
Seperti ditegaskan Najib, MT UMNO menangguhkan pemilihan parti kerana hendak mendahulukan kepentingan rakyat dan ia akan dapat membuatkan ahli dan kepemimpinan parti lebih fokus untuk menyelesaikan permasalahan rakyat sama ada pada peringkat dasar atau akar umbi.
Malah, penangguhan itu juga bertujuan tidak mahu ada pihak nanti yang sudah merancang strategi politik untuk menghadapi pemilihan dan boleh mengeruhkan suasana dalaman parti.
Peluang kukuhkan parti
“Penangguhan ini juga dapat memberi ruang dan peluang bagi pengukuhan parti serta kerja yang patut dilakukan supaya UMNO dan rakan komponen kita lebih mantap untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO, kelmarin.
Bersandarkan kepada penjelasan Presiden UMNO itu, adalah jelas di sini keputusan MT UMNO itu juga adalah salah satu strategi politik yang diamalkan mana-mana parti iaitu bersiap sedia sebelum menghadapi pilihan raya.
Ini kerana, dalam medan politik, matlamat paling utama dikejar ialah memastikan kemenangan dapat dicapai dan dipertahankan dalam pilihan raya.
Jika kalah dalam pilihan raya, semuanya sudah tidak berguna lagi. Justeru, apakah yang lebih utama bagi parti antara memenangi pilihan raya PRU dengan pemilihan pucuk pimpinan parti? Rasanya tidak ada parti yang akan melebihkan pemilihan parti berbanding mengejar cita-cita memenangi pilihan raya.
Ketika medan politik hari ini dilingkari persepsi masyarakat dan dibantu dengan kecanggihan teknologi internet dan media sosial, sudah tentu keazaman untuk menang dalam pilihan raya umum menjadi keutamaan bagi semua parti berbanding menumpukan perhatian terhadap soal dalaman parti termasuk UMNO.
Cuma, apa yang pasti, keputusan MT UMNO ini boleh menjadi petunjuk utama terhadap ‘peta’ bayangan PRU-14. Dengan keputusan itu, bermakna UMNO boleh menangguhkan pemilihan parti sehingga April 2018 walaupun mandat kepemimpinan UMNO sekarang akan berakhir pada Oktober 2016.
Mandat Parlimen sekarang pula akan berakhir pada Jun 2018 jika mengambil kira tarikh pembukaan rasmi mesyuarat penggal pertama Parlimen ke-13 yang bermula pada 25 Jun 2013.
Justeru, berdasarkan kepada keputusan MT UMNO ini dan sejarah pemilihan UMNO, besar kemungkinan PRU-14 akan diadakan tidak lewat daripada April 2018 atau lebih awal lagi, barangkali pada tahun 2017. Selepas itu, barulah UMNO mengadakan pemilihan parti.