#DSZH4PresidenUMNO
SEREMBAN — Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak bersetuju debat antara calon diadakan dalam pemilihan parti kali ini kerana ia akan mendedahkan pelbagai isu dalaman kepada umum.
Beliau yang juga calon Timbalan Presiden Umno berkata pemilihan kali ini disifatkan sebagai pertandingan antara keluarga yang seharusnya dijalankan secara baik.
“Tidak perlu debat, kalau dalam rumah tangga pun kita kena pakat elok-elok kerana kita bertanding sesama sendiri.
“Kalau calon ada strategi kukuh tak perlu beritahu orang lain (melalui debat). Ini penting supaya strategi dan langkah Umno tidak dibaca orang lain,” katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri dan Pengenalan Calon-Calon Pemilihan Umno 2018 di sini, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Pemangku Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, calon Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa dan beberapa calon Naib Presiden.
Dua calon Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin sebelum ini telah bersetuju untuk berdebat esok.
Sementara itu, Mohamad turut menegaskan agar tidak berlaku situasi memburukkan calon lain semata-mata untuk memperoleh kemenangan.