#RuleOfLaw #ParlimenTomato #KERAjaanTomato #FaktaBukanAuta
Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat jelas bahawa nama Tuan Yang Dipertua Speaker yang dicadangkan perlu dikemukakan kepada sekretariat Parlimen sekurang-kurangnya 14 hari sebelum sesi Parlimen bermula.
Pada ketika ini, hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum Parlimen bermula, identiti Tuan Yang Dipertua masih lagi belum dikenal pasti dan ini menjurus kepada pelbagai debat awam terhadap siapakah yang akan mengisi jawatan itu.
Parlimen adalah badan tertinggi negara ini. Adakah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ini dipatuhi? Jika tidak mampu mematuhi peraturan badan tertinggi negara, bagaimana mahu mengakui bahawa kerajaan baharu ini mentadbir berasaskan kepada kedaulatan undang-undang (Rule of Law)?
Sekarang terdapat debat dan persoalan di kalangan rakyat, ahli-ahli politik dan NGO-NGO, jika keluhuran undang-undang telah dipatuhi dan siapakah paling layak dilantik sebagai Yang DiPertua Speaker.
Malah, Menteri Sumber Manusia mendakwa mereka yang mengajukan keresahan mereka ini hanya mensensasikan isu perlantikan bagi mengalih perhatian terhadap penindasan politik terhadap saya.
Saya bukan lagi Perdana Menteri atau berada dalam kerajaan yang mentadbir, maka kenapa pula saya dipersalahkan terhadap isu perlantikan speaker ini?
Seperti cerita hutang negara RM1 trilion kerajaan PH bersandarkan definisi sendiri yang tiada negara lain dalam dunia gunakan, nama saya terus diperalatkan sebagai alasan serta dipersalahkan setiap kali kerajaan Pakatan gagal mentadbir dengan baik atau gagal menunaikan janji manis manifesto mereka.
Alasan ‘semua salah Najib’ yang sudah menjadi prosedur standard operasi (SOP) Pakatan ini perlu dihentikan. Atau adakah ia akan berlanjutan selama 5 tahun akan datang?
Alasan seumpama ini adalah tidak adil bagi rakyat apatah lagi, mereka mengharapkan yang lebih baik dari kerajaan baharu, atau adakah mereka akan terus dibelenggu dengan harapan?