UMNO akan menurunkan had keahlian daripada 18 tahun kepada 16 tahun sebagai persediaan kepada cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ingin menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu juga diambilkira sebagai memenuhi hasrat akar umbi.
“Ini mungkin bersesuaian dengan perubahan yang ingin dilakukan oleh pihak pencadang (PH) agar umur layak mengundi pada 18 tahun.
“Kita perlu bersiapsiaga malah merasakan umur belia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa adalah 15 tahun, jadi kita ambil lewat setahun daripada definisi belia,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, pada Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan, Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Tambahnya lagi, UMNO akan turut melakukan pemutihan kepada ahli yang telah meninggal dunia dan meninggalkan parti.
“Pemutihan ini kerana parti tidak mahu jumlah ahli UMNO yang melebihi 3 juta ini dilihat sebagai komulatif tetapi kualitatif,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 29 hingga 30 September ini dan hanya akan melibatkan usul ucapan Presiden sahaja.
“Tarikh dicepatkan kerana pemilihan peringkat cawangan dan bahagian telah dibuat, usul hanya melibatkan usul ucapan Presiden sahaja,” katanya.