Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman terkenal sebagai seorang yang cukup cool. Namun beliau tidak dapat menahan rasa marah sebaik saja tersebar berita petang Khamis melaporkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tuduh UMNO dalangi kejadian kebakaran pejabat DAP di Pulau Pinang.
“Ini tuduhan gila…dan sangat tidak bertanggong jawab,”tegasnya ketika menghubungi Agendadaily untuk meluahkan rasa geramnya pada tuduhan yang disifatkannya dibuat ikut sedap mulut dan tanpa usul periksa.
Beliau tuntut Guan Eng menarik balik dakwaannya secepat mungkin.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu membuat tuduhan itu berikutan kejadian sebuah papan tanda dan pintu utama pejabat DAP Pulau Pinang di Jalan Talipon mengalami kerosakan teruk akibat satu kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat awal pagi Khamis.
Sebelum itu pada Ahad lepas, pejabat berkenaan dan pusat perkhidmatan Setiausaha Politiknya Ng Wei Aik, di Lorong Seratus Tahun disimbah dengan cat.
Sebuah portal pro pembangkang melaporkan, Guan Eng berkata “Kami merasakan ini adalah sebahagian serangan oleh UMNO berhubung isu larangan Al-Quran”.
Di Pulau Pinang baru-baru ini timbul kontroversi selepas Majlis Fatwa negeri itu membuat larangan terhadap masjid atau surau di negeri ini menggunakan pembesar suara untuk bacaan Al-Quran sebelum subuh.
Zainal berkata sebagai seorang pemimpin Ketua Menteri itu harus lebih bertanggongjawab dalam membuat tuduhan yang boleh mencetuskan sentimen perkauman dan jangan main tuduh ikut suka hati.
Baginya mana-mana anasir boleh melakukan perbuatan itu.
“Lainlah kalau ada orang UMNO kena tahan didakwa melakukannya.Itupun dia kena sebut ahli UMNO bukan UMNO sebagai sebuah pertubuhan.Kita tidak izinkan mana-mana ahli melakukan perbuatan khianat seperti itu.
“Sebagai parti politik yang mewakili orang Melayu dan Islam, kita mahu Guan Eng memberi bukti dakwaannya itu atau jika tidak mempunyai bukti, beliau harus menarik balik kenyataannya atau kita akan ambil tindakan undang-undang kerana cuba menghasut dan mencetus isu perkauman,” katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata saksi seorang lelaki mencurigakan dilihat berhenti di hadapan pejabat parti itu sekitar pukul 2.50 pagi, sebelum menyalakan satu kertas suratkhabar.
“Katanya suspek kemudian mencampakkan kertas suratkhabar yang terbakar itu ke premis berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya.
Beberapa makalah penerbitan parti yang ditempatkan di hadapan bangunan dua tingkat itu didapati turut terbakar.
Manakala, Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Beach Street Shamsuddin Ahmad ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 2.50 pagi.
Menurutnya empat jentera bomba yang tiba di tempat kejadian kira-kira enam minit kemudian dan mengambil masa sekitar 10 minit untuk memadamkan kebakaran.
Beliau berkata punca kebakaran masih dalam siasatan