Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) terus menzahirkan rasa kecewa dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana kegagalan menunaikan kenaikan gaji minimum seperti diharapkan.
MTUC turut menyifat ucapan Dr. Mahathir pada Sesi Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi yang ke-73 (UNGA) di New York minggu lalu agak bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini berhubung kenaikan gaji minima RM50.
Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon berkata, di dalam ucapannya itu Dr. Mahathir menegaskan kerajaan baharu pimpinannya akan sangat berpegang kepada prinsip kebenaran, hak asasi manusia, undang-undang, keadilan, kesaksamaan dan kebertanggungjawaban selain kemampanan.
Katanya, apa yang diucapkan Perdana Menteri agak bertentangan dengan prinsip dinyatakan apabila golongan pekerja hanya menerima kenaikan gaji minimum sebanyak RM50 sahaja apabila dilaksanakan pada Januari tahun depan.
“Melihat kepada ucapan Dr. Mahathir di UNGA, kerajaan ini tertakluk kepada mendukung prinsip kebenaran, hak asasi manusia, undang-undang, keadilan, kesaksamaan, kebertanggungjawaban dan kemampanan untuk memastikan perkongsian kemakmuran serta kekayaan negara diagih sama-rata.
“Sebagai tambahan, kami tidak nampak alasan kerajaan akan terbeban dengan meningkatkan kadar gaji minimum memandangkan sektor swasta yang telah menjana keuntungan tinggi yang dijangka akan menanggung peningkatan kos berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sehubungan dengan itu, Solomon memohon supaya kerajaan menyemak semula peningkatan kadar gaji minimum yang telah diumumkan untuk memastikan golongan pekerja bebas daripada penindasan gaji selama enam dekad ini.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1365202973611682&id=610929202372400
…….