Kerajaan PH meminta rakyat untuk berkorban dan banyak lagi cukai baru akan diperkenalkan di dalam bajet 2019 yang akan dibentang tidak lama lagi?
Antara cukai yang disebut mungkin diperkenalkan termasuk cukai keuntungan modal (Capital Gains Tax ataupun CGT) ke atas jual beli saham.
Ia bukan baru dan cukai CGT ini pernah ditimbulkan beberapa kali oleh PH sebelum ini di dalam bajet alternatif mereka di tahun-tahun yang lepas. Beberapa hari dahulu, menteri Kewangan juga mengesahkan bahawa cukai CGT ini antara cukai yang mungkin diperkenalkan.
Walaupun kerajaan akan hilang hasil RM40 bilion setiap tahun akibat langkah-langkah populis mereka termasuk bertukar dari cukai GST kepada Cukai Jualan dan Cukai Servis (SST), mereka tidak patut perkenalkan cukai CGT ke atas saham.
Sekali imbas, CGT ke atas jual beli saham sangat menarik dan populis. Mengapa mereka yang kaya dan raih untung “main saham” tak kena bayar cukai? Kalau kita mengenakan cukai ke atas “keuntunggan atas angin” kepada mereka, jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin akan dikurangkan, bukan?
Fikiran seperti ini amat populis dan disenangi rakyat biasa tetapi impaknya amat besar. Akhirnya, yang rugi ialah ekonomi negara dan rakyat biasa sendiri juga.
Negara-negara jiran yang lain seperti Singapura, Hong Kong yang mempunyai pasaran saham yang jauh lebih aktif dan besar berbanding kita tidak ada cukai CGT ini.
Jika cukai CGT ke atas jual beli saham ini diperkenalkan di Malaysia, kecenderungan pelabur-pelabur asing dan domestik untuk membeli saham di Malaysia akan (bukan kemungkinan) jatuh teruk. Mereka akan memilih bursa saham yang lain untuk melabur kerana tempat lain tidak ada cukai CGT.
Syarikat yang telah disenarai dan yang ada rancangan untuk disenarai di Bursa kita akan mengalami kesukaran untuk menerbitkan saham bagi mendapatkan modal untuk mengembangkan perniagaan mereka atau membina kilang baru.
Oleh kerana kesukaran untuk mendapat modal melalui terbitan saham tambahan, bisnes mereka tidak boleh berkembang maka peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi akan pasti terjejas.
Di zaman globalisasi ini, ianya sangat mudah bagi syarikat-syarikat Malaysia untuk memilih disenarai di bursa saham negara lain. Yang telah disenarai akan memindah ke negara lain manakala yang belum disenarai tidak akan memilih Bursa Malaysia.
Pelabur-pelabur saham yang terbesar di Malaysia juga merupakan institusi-institusi milik kita seperti KWSP, Tabung Haji, PNB dan syarikat-syarikat amahan saham swasta. Apabila permintaan untuk membeli saham di Malaysia jatuh maka harga saham akan jatuh dan mengakibatkan kerugian kepada institusi-institusi ini.
Akhirnya, rakyat yang ada simpanan di dalam institusi-industi ini yang rugi juga ditambah dengan aktiviti ekonomi yang akan menjunam dan peluang pekerjaan baru yang mengurang.
Dulu, saya tidak mempertimbangkan cukai CGT ke atas jual beli saham kerana saya pasti tentang impak negatifnya.
Jual beli saham tidak seperti jual beli hartanah fizikal yang tidak boleh dipindah ke luar negara. Oleh itu, pada masa saya sebagai PM, kerajaan kita menaikkan cukai keuntungan modal ke atas jual beli hartanah (RPGT) dan tidak berbuat demikian untuk jual beli saham.
Pemikiran saya pada masa itu ialah orang kaya yang mendapat keuntunggan dari pasaran saham akan bebelanja lebih besar. Oleh itu, kita cukai dia melalui GST apabila dia berbelanja untungnya. Yang belanja lebih banyak akan membayar lebih banyak cukai GST berbanding orang biasa.
Langkah populis sekali imbas nampak sangat menarik dan kedengaran seperti masuk akal, seperti menukar GST kepada SST ataupun memperkenalkan cukai CGT ke atas jual beli saham bukan semestinya baik kerana impak negatif jangka panjangnya jauh lebih teruk dari apa kebaikan jangka masa pendek.
…………….
Rujukan:
https://pakdin.my/tag/ekonomi
https://pakdin.my/tag/bursa-malaysia