Tiga lagi pertubuhan Islam mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor, JAIS memeriksa gereja Methodist Damansara Utama, DUMC 3 Ogos lalu.
Malah, NGO itu juga menyokong tindakan JAIS mendakwa mereka yang terbabit ke mahkamah jika ada bukti kukuh bahawa wujud usaha memurtadkan umat Islam oleh pihak berkenaan.
Pertubuhan itu, Angkatan Belia Islam Malaysia, ABIM, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, PKPIM dan Wadah Pencerdasan Umat Islam, Wadah menyuarakan pendirian mereka pada sidang media bersama, siang tadi.
AMIDI ABDUL MANAN/PRESIDEN ABIM
“Kami merasa amat kesal dengan keengganan pihak DUMC dan HK untuk menggunakan saluran dialog menyelesaikan kemelut ini. Kami juga ingin mengetengahkan peringatan tegas agar sebarang aktiviti serupa yang meragukan sepertimana membabitkan HK dan DUMC tidak diulangi lagi.”
Turut dikesalkan, dua lagu kesyukuran berbahasa Bahasa Melayu, “Allahu Akbar dan Alhamdulilah” yang disalah guna gereja berkenaan.