Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini membangkitkan isu penjawat awam yang diminta menyokong Pakatan Harapan atau hilang mata pencarian.
Di dalam perbahasan Bajet 2019 di Dewan Rakyat, Zahid menegaskan bahawa penjawat awam perlu diberi kebebasan untuk memilih parti yang mereka mahu selari dengan amalan demokrasi diamalkan di negara ini.
Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, biarlah mereka memilih apa juga parti untuk disokong asalkan mereka menjalankan tugas yang diamanahkan.
“Saya dapat tahu penjawat awam diminta menyokong PH dengan menyertai parti-parti dalam PH. Kita lihat mereka yang bekerja di bawah KEMAS, JASA dan agensi lain disuruh mengisi borang (sertai PH), kalau tidak akan hilang mata pencarian.
“Sebagai negara demokrasi, biarlah mereka tentukan mana hala tuju sokongan mereka, asalkan mereka menjalankan tugas-tugas dengan bagi bagi jawatan yang telah diamanahkan,” katanya.
Tambah Zahid lagi, terlalu banyap harapan yang telah diberikan oleh kerajaan PH kepada rakyat, namun hasilnya amat mengecewakan.
“Mereka terpedaya dengan janji-janji lalu. Mengikut laporan seramai 500,000 orang telah diberhentikan kerja. Ada yang hilang kerja apabila projek besar dibatalkan, ada yang hilang kerja kerana politik.
“Apa yang akan terjadi kepada nasib mereka ini? Kesian rakyat. Pulangkan apa yang telah ditarik balik. Tanpa rakyat siapa kamu dalam kerajaan?
“Rakyat tidak perlu jambatan bengkok, rakyat tidak perlu kereta nasional ketiga. Mereka mahu taraf sara hidup dinaikkan. Ada mulut yang perlu disuap, perlu pakaian yang cukup. Apa nasib mereka bila bantuan dipotong dan dikurangkan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri menegur penjawat awam supaya berpegang kepada prinsip demokrasi dengan mengiktiraf kepemimpinan kerajaan yang menjadi pilihan rakyat.
Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sekalipun mereka menyokong parti lain namun tugas sebagai penjawat awam perlu mengikut segala dasar yang ditetapkan oleh kepemimpinan sekarang.