Selepas menunggu hampir tiga bulan, rakyat negara ini akhirnya berpeluang mendengar keterangan bela diri Datuk Seri Anwar Ibrahim mulai esok berhubung pertuduhan liwat yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi di sini.
Antara yang bakal menarik perhatian adalah cara barisan pembelaan mematahkan isu kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) Lelaki Y atau Anwar di bahagian rektum (salur dubur) dan permukaan dubur bekas pembantu peribadi Ketua Pembangkang itu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Turut menjadi perhatian adalah sama ada barisan pembelaan yang diketuai peguam bela, Karpal Singh akan memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai saksi-saksi mereka pada perbicaraan tersebut.
Namun, apa yang lebih menarik ialah sama ada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu akan menjadi saksi pembelaan pertama dan memilih untuk memberi keterangan dari kandang saksi yang akan ‘membolehkan’ dirinya disoal balas oleh pihak pendakwaan.
Selain daripada pilihan ini, Anwar boleh memilih sama ada memberi keterangan dari kandang tertuduh atau berdiam diri; dua pilihan yang menghalang pihak pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden daripada menyoal balas dirinya.
Difahamkan, Anwar akan membuat pilihannya pada malam ini, iaitu beberapa jam sebelum perbicaraan peringkat bela diri bermula.
Sejak Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan untuk memanggil Anwar membela diri atas tuduhan meliwat bekas pekerjanya itu pada 16 Mei lalu, prosiding itu telah tertangguh beberapa kali.
Penangguhan tersebut berikutan permohonan kali ketiga Anwar agar hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kesnya dan permohonan untuk menemui terlebih dahulu kira-kira 15 saksi yang ditawarkan oleh pasukan pendakwaan di Kompleks Mahkamah di Jalan Duta, di sini.
Sehingga Jumaat lalu, barisan pembelaan telah menemui seramai 24 orang bakal saksi termasuk Najib dan Rosmah sejak 18 Mei lalu.
Salah seorang peguam bela Anwar, Sankara Nair memaklumkan daripada senarai tersebut, tujuh orang dijangka dipanggil sebagai saksi pembelaan.
Sebelum ini, barisan pembelaan menguar-uarkan akan memanggil kira-kira 25 saksi termasuk pakar DNA, Dr. Brian McDonald dan pakar forensik Dr. David Wells; kedua-duanya dari Australia.
Anwar, 64, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.