Tujuh saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor telah disapina oleh pasukan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi saksi pihak pembelaan dalam kes liwat Anwar.
Peguam Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan Anwar, memberitahu Mahkamah Tinggi yang mereka telah mensapina tujuh saksi yang ditawarkan oleh pasukan pendakwaan pada akhir kes mereka untuk menjadi saksi pihak pembelaan.
Karpal memaklumkan demikian kepada mahkamah selepas Anwar selesai memberikan kenyataan pembelaannya dari kandang saksi, untuk menjawab pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26. Saksi berkenaan ialah Najib, Rosmah, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, doktor Pusrawi yang memeriksa Mohd Saiful, Dr Mohammad Osman Abdul Hamid, jururawat Pusrawi Yazihan Jusoh dan pembantu rumah Indonesia, Suliati.
Peguam Cara Negara 11 Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu mahkamah yang beliau tidak menjangka bahawa Anwar akan memberikan keterangan membela diri dari kandang saksi.
Beliau berkata ini adalah pertama kali beliau mendengar tertuduh memberikan keterangan membela diri dari kandang saksi yang beliau sifatkan sebagai ucapan politik atau ulasan selari.
Mohamed Yusof juga berkata pihak pendakwaan akan mencari jalan untuk memeriksa balas Anwar mengenai bahagian tertentu dalam kenyataan bela dirinya.
“Saya perlu buat penyelidikan, mungkin saya akan cari jalan untuk memeriksa balas Anwar…saya benar-benar ingin memeriksa balas Anwar,” kata Mohamed Yusof.
Di luar mahkamah, Karpal memberitahu pemberita yang mereka telah menghantar sapina itu pada Jumaat lepas.
Kepada soalan sama ada para saksi boleh memohon kepada mahkamah untuk mengenepikan sapina itu, katanya: “Ya, mereka boleh, tetapi pada saat ini mereka masih belum berbuat demikian.”
Dalam kes liwat pertama pada 1998, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad telah disapina dan telah memohon untuk mengenepikannya dan mahkamah membenarkan permohonannya.
Anwar, 64, yang juga Ketua Pembangkang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos, 2008, terhadap pertuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara between 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun pada tahun yang sama.