Syarikat makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) menjelaskan bahawa bermula Disember 2018, harga makanan yang disenaraikan adalah termasuk 6 peratus cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
KFC dalam kenyataannya berkata, terdapat beberapa pelarasan kecil bagi harga produknya untuk memastikan syarikat berkenaan dapat terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
“Untuk tujuan ini, kami berharap para pelanggan memahami menu kami telah disediakan secara khusus untuk menawarkan nilai bagi memenuhi kehendak pelanggan yang berbeza,” kata kenyataan itu.
Mengulas berita yang tular di media sosial yang membandingkan harga Snack & Dinner Plate, katanya, pakej yang ditawarkan tersebut tidak pernah dijual pada harga RM12.50 sejak dilancarkan pada tahun 2015.
Sejak semalam, kecoh di laman-laman sosial Facebook mengenai kenaikan mendadak harga ayam KFC yang disifatkan pengguna terlalu tinggi.
Dikatakan harga set ayam Snack Plate yang sebelum ini berharga RM12.30 naik kepada RM15.30 manakala Dinner Plate dari RM15.60 kepada RM19.60.